FOTO hiasan. FOTO arkib NSTP
FOTO hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohd Anwar Patho Rohman


MASALAH penyalahgunaan daum ketum di negara ini boleh ditangani jika Malaysia sedia mencontohi Turki yang membenarkan penanaman pokok ganja bagi mewujudkan industri perubatan berasaskan kanabis.

Dr Azman Ismail (PH PKR-Kuala Kedah) berkata, ketum adalah tumbuhan asli mengandungi mitragynine yang hanya tumbuh di utara Semenanjung khususnya Kedah dan Perlis serta Kelantan.

"Ketum adalah tumbuhan herba dan berpotensi menjadi ubat tradisional. Ketum boleh ditanam di Florida, Amerika Syarikat tetapi tiada mitragynie.

"Kalau sebagai dadah berbahaya tetapi tumbuh di kawasan rumah kita, memang jadi masalah.

"Namun jika ketum dimasukkan ke dalam sebagai kategori dadah berbahaya, ia hanya merugikan potensi ketum sebagai ubat herba.

"Mungkin kita boleh mengambil model (undang-undang) Turkiyang membenarkan tanaman ganja untuk industri.

"Kalau haramkan semua daripada ketum, apa faedahnya," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2019 di Dewan Rakyat, hari ini.

Justeru, beliau berkata, sudah sampai masanya Malaysia mewujudkan akta khusus menangani penyalahgunaan daun ketum yang berlaku dalam segelintir masyarakat hari ini.

"Ketum sebagai tumbuhan asli, termasuk dalam kategori herba tradisional dan mempunyai kesan ubat merawat penyakit berkaitan saraf. Kita ada kajian di Universiti Sains Malaysia (USM).

"Saya meminta akta khusus dibuat untuk kawal salah guna ketum. Perlu ada akta membenarkan petani dengan kawalan tertentu untuk menanam ketum bagi tujuan industri perubatan," katanya.

Isnin lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dilaporkan akan mencadangkan kepada Jawatankuasa Kabinet supaya penanaman pokok ketum di negara ini diharamkan, sekali gus mengelak penyalahgunaan tanaman itu daripada terus berleluasa.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pihaknya mendapati penyalahgunaan ketum membawa kesan bahaya kepada pengguna walaupuntidak dikategorikan sebagai dadah berbahaya.

Daun ketum mengandungi bahan mitragynine yang tersenarai dalam Jadual 3, Bahan Pskioterapik Akta Racun 1952 dan bahan berkenaan dikawal mengikut Seksyen 30, Akta Racun 1952 iaitu kawalan import, eksport, pembuatan, penjualan dan lain-lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 5:39 PM