GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Luqman Arif Abdul Karim


PEMBEKUAN cuti pegawai berkaitan khususnya agensi menyelamat akan dilanjutkan sehingga Mac tahun depan, bergantung kepada keadaan cuaca dan negeri yang terbabit banjir.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, percaturan berdepan banjir akibat kesan angin monsun timur laut itu sebelum ini menetapkan pembekuan cuti pegawai berkaitan dilaksana mulai November hingga Disember, tahun ini.

"Pada 30 Oktober lalu, mesyuarat jawatankuasa pusat dipengerusikan saya sendiri memutuskan kegiatan pembalakan di Kelantan ketika monsun timur laut dihentikan," katanya menjawab soalan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Zailah meminta perincian kerajaan berhubung tahap kesiapsiagaan dan persediaan bagi menghadapi musim tengkujuh, khususnya di Kelantan.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Amer Yusof, pada 30 Oktober lalu dilaporkan berkata, cuti 12,649 pegawai dan anggota agensi itu di seluruh negara dibekukan sebagai persediaan menghadapi bencana banjir susulan peralihan monsun.

Berikutan peralihan monsun yang dijangka bermula dari 27 November hingga Mac tahun depan, Dr Wan Azizah menjelaskan, seramai 78,612 anggota membabitkan polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) akan digerakkan ke lokasi banjir.

Selain itu, katanya, operasi 1,080 daripada 5,448 pusat pemindahan sedia ada di kawasan berisiko banjir di seluruh negara kini mula diaktifkan.

"Bagi Kelantan, persiapan berdepan banjir membabitkan 1,984 anggota polis bomba dan APM, selain menggunakan 94 pacuan empat roda, 59 lori, 23 ambulans, 109 bot serta 33 kenderaan lain.

"Sebanyak 60 pusat pemindahan diaktifkan untuk menampung 198,000 mangsa dan 225 kemudahan penyimpanan bantuan, iaitu depoh, stor serta pangkalan hadapan disediakan.

"Kementerian Kesihatan juga mengarahkan hospital dan klinik membuat persiapan logistik serta stok ubat, selain mengenal pasti pesakit yang memerlukan rawatan khusus," katanya.

Menjawab soalan tambahan Rubiah Wang (PBB-Kota Samarahan) mengenai status penyaluran dana Tabung Kumpulan Wang Amanah Bencana Negara (KWABBN) di Sarawak, Dr Wan Azizah berkata, ia akan diberikan dalam tempoh terdekat.

"Tunggulah sekejap, sabarlah, kita baru saja kata nak keluarkan (dana KWABBN) untuk disampaikan di sana.

"Sarawak ini sudahlah tak undi kita, tak bagi sokongan. Untuk makluman, menerusi Rancangan Malaysia Ke 11 (RMKe-11) ada projek mitigasi banjir di Kota Samarahan.

"Ia membabitkan projek menaik taraf perimeter parit dan tebing tebatan berteraskan skim IADA (Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu) membabitkan peruntukan RM10 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 3:11 PM