KEADAAN rumah penduduk dinaiki air. FOTO Ihsan APM
KEADAAN rumah penduduk dinaiki air. FOTO Ihsan APM
Ifwan Tun Tuah


SERAMAI 159 penduduk daripada 32 keluarga terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas banjir kilat melanda empat kampung di Jelebu, malam tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Jelebu, Leftenan Pertahanan Awam Md Marissa Aminuddin berkata, empat kampung terbabit ialah Kampung Geylang, Kampung Melayu, Kampung Tembathin dan Kampung Baru Pertang.

“Kawasan paling teruk terjejas ialah Kampung Geylang membabitkan 99 penduduk daripada 20 keluarga dan semua mereka ditempatkan di PPS di Sekolah Rendah Kebangsaan Geylang.

"Selain itu, tujuh mangsa daripada dua keluarga dari Kampung Melayu turut ditempatkan di sekolah berkenaan," katanya, hari ini.

Beliau berkata, 53 penduduk daripada 10 keluarga dari Kampung Tembathin dan Kampung Baru Pertang pula ditempatkan di Dewan Terbuka Kampung Tambahtin Taman Bukit Pertang.

‘Pihak kami bersama bomba, polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Pejabat Tanah dan Daerah Jelebu, masih membuat pemantauan dan penduduk akan dibenarkan pulang apabila keadaan kembali pulih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 November 2018 @ 10:14 AM