Anggota bomba dan penyelamat memindahkan penduduk Kampung Serting Ulu dan Kampung Geylang berikutan banjir kilat. FOTO Ihsan Bomba
Anggota bomba dan penyelamat memindahkan penduduk Kampung Serting Ulu dan Kampung Geylang berikutan banjir kilat. FOTO Ihsan Bomba
Abnor Hamizam Abd Manap

HUJAN lebat yang bermula jam 5 petang semalam menyebabkan 32 penduduk dari Kampung Geylang dekat Pertang dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Geylang selepas rumah mereka dinaiki air.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pertang, Mohd Afandi Mansor berkata banjir kilat berkenaan melanda berikutan limpahan air dari Sungai Pertang.

Katanya mangsa yang terdiri daripada 15 lelaki dan 17 wanita dipindahkan ke dewan orang ramai oleh pihak bomba dan agensi lain.

"Kebanyakan rumah mangsa dinaiki air sedalam satu meter dan menyebabkan kerosakan harta benda," katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, kesemua 32 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara bermula jam 8 malam tadi.

Katanya mangsa dari sembilan keluarga dari kampung berkenaan dan kebanyakan rumah berhampiran dengan sungai.

"Pemantauan akan terus dilakukan dari masa ke semasa bersama agensi berkaitan. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya

Sementara itu, pihak bomba juga melaporkan sebanyak 12 penduduk dari tiga keluarga di Kampung Serting Ulu dipindahkan ke balai raya berhampiran selepas kediaman mereka turut dinaiki air.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 November 2018 @ 1:25 AM