SULTAN Nazrin Shah mendengar watikah perisytiharan menjalankan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong, yang dibacakan Dr Mahathir (kiri) pada satu istiadat di Istana Hinggap Perak, Kuala Lumpur, hari ini. Foto BERNAMA
SULTAN Nazrin Shah mendengar watikah perisytiharan menjalankan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong, yang dibacakan Dr Mahathir (kiri) pada satu istiadat di Istana Hinggap Perak, Kuala Lumpur, hari ini. Foto BERNAMA
BERNAMA

SULTAN Perak Sultan Nazrin Shah, hari ini menandatangani watikah perisytiharan menjalankan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Perisytiharan itu bagi membolehkan baginda sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong menjalankan tugas ketika Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V beristirahat selepas menjalani rawatan bermula hari ini sehingga 31 Disember ini.

Istiadat yang berlangsung di Istana Hinggap Perak, Kuala Lumpur dimulakan dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membaca watikah perisytiharan berkenaan.

Baginda kemudian menandatangani watikah itu.

Selaras dengan Perkara 33 dalam Perlembagaan Persekutuan, Timbalan Yang di-Pertuan Agong menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong sepanjang ketiadaan baginda.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Ismail Bakar dan Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum.

Sementara itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz berkata, Istana Negara secara rasmi memaklumkan bahawa Sultan Muhammad V sedang beristirahat menjalani rawatan.

“Selaras dengan Perkara 33 yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, Timbalan Yang di-Pertuan Agong akan menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong sepanjang ketiadaan Baginda (Sultan Muhammad V),” katanya dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 November 2018 @ 3:20 PM