ZAHIDI (kanan) dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Zainal Azman Abu Seman menunjukkan buku progam rasmi Sambutan Ulang Tahun Keputeraan ke-62 Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. FOTO Abdullah Yusof
ZAHIDI (kanan) dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Zainal Azman Abu Seman menunjukkan buku progam rasmi Sambutan Ulang Tahun Keputeraan ke-62 Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. FOTO Abdullah Yusof
Shaarani Ismail


MENTERI Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu mengetuai senarai 285 penerima Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-62, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, hari ini.

Ahmad Faizal antara dua penerima Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Seorang lagi tokoh menerima SPMP adalah Pro Canselor Universiti Malaya (UM), Datuk Seri Dr Aishah Ong.

Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak akan berlangsung di Balairong Seri, Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Ahad ini.

Baginda juga menganugerahkan Darjah Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk kepada 14 tokoh dan individu.

Mereka ialah Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabra; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Raja Nurshirwan Zainal Abidin; Pengarah Jabatan Kesihatan Perak, Dr Ding Lay Ling; Pengarah Tanah dan Galian Perak, Rumaizi Baharin@Md Daud; Pengarah Jabatan Kerja Raya Perak, Ahameed Tarmizi Ramli serta Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Perak, Dr Ahmad Anuar Othman.

Turut menerima DPMP, Dekan Fakulti Undang-Undang UM, Prof Madya Datuk Dr Johan Shamsuddin Sabaruddin; Setiausaha Sulit kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Mohd Rasid Hussin Shah dan Mursyidul Am Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Ahmad Awang.

Selain itu, Jeffri Salim Davidson, Ho Kay Tat, Goh Seng Kuang, Datuk Shahriman Shamsuddin dan Sinnathamby Senathi Rajah turut menerima DPMP.

Dua individu menerima Darjah Datuk Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Datuk Pahlawan ialah Ketua Pengarah, Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan, Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral Chapiti Redzwan dan Ketua Cawangan Khas, Maktab Polis Diraja Malaysia, Senior Asisten Komisioner Sum Chang Keong.

Sementara itu, dua bekas atlet Perak, iaitu jaguh sukan lompat tinggi Loo Kum Zee@Loh Kum Zee yang menjadi Ketua Kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) Perak 2018 dan Mon Redee Sut Txi yang pernah mewakili negara dalam sukan memanah sejak 1999 hingga 2007 menjadi antara 65 penerima Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP).

Turut menerima AMP, Pegawai Daerah Betong, Thailand yang juga Penasihat Yayasan Hospital Betong, Dumdrong Deesakul.

Seramai enam individu menerima Darjah Paduka Cura Simanja Kini (PCM), 23 menerima Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP), 15 menerima Darjah Ahli Cura Simanja Kini (ACM), 72 menerima Pingat Pekerti Terpilih (PPT), 82 menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dan empat lagi menerima Pingat Lama Perkhidmatan (PLP).

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Darjah Kebesaran Perak, Tan Sri Zahidi Zainuddin, berkata istiadat penganugerahan darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk Seri, Datuk dan Datuk Pahlawan akan diadakan pada Ahad ini, manakala anugerah darjah bintang dan pingat lain akan disempurnakan pada 10 November.

Beliau berkata, majlis bacaan Surah Yasin, majlis kesyukuran dan bacaan doa selamat sempena Hari Keputeraan ke-62 Sultan Perak juga akan diadakan di semua masjid di seluruh negeri pada waktu solat Jumaat hari ini.

Katanya, Majlis Santapan Diraja pula akan diadakan di Dewan Bankuet Istana Iskandariah pada jam 8 malam Sabtu.

"Pada Ahad akan berlangsung Istiadat Kawalan Kehormatan bermula jam 8 pagi di perkarangan Istana Iskandariah, diikuti Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia, Menjunjung Duli dan Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak di Balairong Seri, Istana Iskandariah jam 9 pagi," katanya pada sidang media di pejabatnya di Sri Bendahara, Ipoh, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 November 2018 @ 12:05 AM