SUSPEK yang ditahan bersama peralatan mengebom ikan di Kampung Indrason, Kudat, kelmarin. FOTO Ihsan PPM Sabah
SUSPEK yang ditahan bersama peralatan mengebom ikan di Kampung Indrason, Kudat, kelmarin. FOTO Ihsan PPM Sabah
Junaidi Ladjana


LELAKI ditahan kerana menyimpan beberapa alat disyaki digunakan untuk aktiviti mengebom ikan dalam serbuan di rumahnya di Kampung Indrason, Kudat, kelmarin.

Pemangku Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah Superintendan Abd Nasir Othman berkata, suspek, 40, ditahan oleh sepasukan Unit Risikan Marin (URM) PPM Kudat selepas menerima maklumat mengenai seorang penduduk memiliki dan menyimpan peralatan bom ikan di rumahnya.

“Susulan itu, pemeriksaan dijalankan jam 12.35 tengah hari (kelmarin) dan menemui plastik warna coklat di ruang tamu rumah suspek.

“Hasil pemeriksaan, plastik itu berisi satu botol kaca, 100 gram baja ammonia yang disimpan di dalam plastik beras dan bekas plastik yang mengandungi dua unit peledak serta fius,” katanya, hari ini.

Menurut Abd Nasir, selain itu, pihaknya turut menemui tiga batang sumbu dan tiga kotak mancis dipercayai untuk digunakan bagi menjalankan aktiviti terbabit.

“Suspek warga tempatan kemudian dibawa ke Pangkalan PPM Kudat bersama barang rampasan untuk siasatan mengikut Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 November 2018 @ 9:17 AM