KEADAAN rumah mangsa di Kampung Tanjung Kepah, Batu 9 Lekir, Sitiawan, yang terbakar, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
KEADAAN rumah mangsa di Kampung Tanjung Kepah, Batu 9 Lekir, Sitiawan, yang terbakar, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
Noor Hidayah Tanzizi


LELAKI melecur pada tangan kiri ketika cuba menyelamatkan diri dalam kebakaran rumahnya di Kampung Tanjung Kepah, Batu 9 Lekir, Sitiawan, hari ini.

Dalam kejadian 5.15 petang itu, mangsa, Shamsudin Abdullah, 50-an, dikejarkan ke Klinik Kesihatan Lekir untuk rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan, Razlan Dimyati, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 5.20 petang sebelum anggota bersama jentera dari balai itu dengan dibantu anggota BBP Seri Manjung digerakkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, anggota mendapati api sedang marak membakar hampir keseluruhan rumah berkenaan dan mangsa cedera ringan di tangan.

“Bomba difahamkan rumah itu adalah milik saudara mangsa dan lelaki itu tinggal di situ serta membantu menjaga rumah terbabit.

“Lelaki itu tinggal seorang dan ketika kejadian dia dikatakan baru pulang daripada mencari siput di laut dan sedang memasak untuk makan malam.

“Mangsa kemudian melihat gas memasak bocor dan cuba memadam api, namun gagal,” katanya ketika dihubungi NSTP, malam ini.

Razlan berkata, mangsa hanya sempat menyelamatkan motosikalnya sahaja sementara barangan dan perkakas lain termasuk dokumen di dalam rumah itu musnah terbakar.

Beliau berkata, bomba mengambil masa kira-kira sejam untuk memadam kebakaran itu dan rumah berkenaan musnah 90 peratus.

“Mangsa yang cedera ringan dibawa ke Klinik Kesihatan Lekir untuk rawatan lanjut dan operasi tamat pada 6.47 petang,” katanya.

Sementara itu, dalam operasi berasingan berdasarkan panggilan pada 7.28 malam, Razlan berkata, pasukannya terpaksa memecahkan mangga di rumah di Sitiawan untuk menyelamatkan seorang wanita yang pengsan di dalam rumah berkenaan.

Katanya, wanita berusia 51 tahun itu dipercayai mempunyai penyakit dan tinggal berseorangan di rumah sementara suami dan anaknya mempunyai urusan kerja di luar kawasan.

“Suami wanita itu yang risaukan keadaan isterinya meminta tolong jiran mereka melihat keadaan wanita berkenaan, namun pintu rumah pasangan itu berkunci sebelum jiran itu meminta bantuan.

“Bomba terpaksa memecahkan mangga di pintu rumah wanita itu dan mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan perubatan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Oktober 2018 @ 10:19 PM