Izlaily Nurul Ain Hussein


DUA belas Pegawai Belia dan Sukan direman lima hari di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu.

Mereka antara 15 pegawai belia dan sukan yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor, semalam,

Baki tiga lagi yang ditahan semalam iaitu dua lelaki dan seorang wanita dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Siti Hajar Ali selepas membenarkan permohonan reman dibuat Pegawai Pendakwa SPRM, Mohamad Anis Redza Mohamad Anuar.

Suspek terdiri daripada sembilan lelaki dan tiga wanita itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

SPRM dalam satu kenyataan media, semalam berkata, suspek dipercayai bersubahat dengan kontraktor untuk membuat tuntutan palsu berkaitan kerja penganjuran Program Liga Sukan untuk semua daerah di Johor.

Menurut kenyataan itu, program berkenaan didakwa dianjurkan sepanjang 2015, namun dipercayai tidak dilaksanakan.

Katanya, jumlah keseluruhan tuntutan palsu adalah lebih RM90,000.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Oktober 2018 @ 9:14 PM