NOOR Mushar (dua kiri) menunjukkan senjata api buatan sendiri yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, hari ini. FOTO Azhar Ramli
NOOR Mushar (dua kiri) menunjukkan senjata api buatan sendiri yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, hari ini. FOTO Azhar Ramli
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


POLIS berjaya membongkar kegiatan membuat dan menjual senjata api buatan sendiri susulan penahanan seorang mekanik di Kodiang, Kedah pada Isnin lalu.

Ketua Polis Perlis Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd berkata, penahanan lelaki, 51, dilakukan berikutan tangkapan seorang pelanggan di Kampung Guar Sanji, Arau jam 11 malam hari yang sama.

“Polis menyerbu rumah pelanggan lelaki berusia 46 tahun yang juga pesara tentera berdasarkan maklumat awam.

“Pesara yang bekerja sebagai penoreh getah itu menyembunyikan selaras senapang patah buatan sendiri untuk kegunaan memburu di kepala katil dalam keadaan berbungkus dengan kain batik.

“Dia mengaku membelinya daripada mekanik berkenaan selepas diperkenalkan oleh seorang rakan pada 2014,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di Kangar, hari ini.

ANTARA senjata api buatan sendiri yang dirampas. FOTO Azhar Ramli
ANTARA senjata api buatan sendiri yang dirampas. FOTO Azhar Ramli

Noor Mushar berkata, pesara itu kemudian membawa pihak polis ke rumah mekanik terbabit di Kodiang bagi melakukan pemeriksaan.

“Pihak polis menemui tiga laras senjata api buatan sendiri, selaras senapang angin belum siap dan sebatang besi hitam dipercayai dalam proses membuat senapang dalam bengkel lelaki terbabit.

“Mekanik itu mengaku membuat dan menjual senjata api buatan sendiri itu sejak 2014 dan sudah menjualnya kepada 20 pembeli termasuk pesara tentera berkenaan,” katanya.

Katanya, polis kini sedang giat mencari 19 pembeli senjata daripada lelaki berkenaan yang dipercayai tidak mempunyai lesen dan permit untuk memiliki senjata api.

“Siasatan mendapati hanya pesara itu yang mempunyai rekod jenayah membabitkan penyalahgunaan dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 dan Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 dan kedua-dua mereka direman bermula semalam sehingga 19 Oktober ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Oktober 2018 @ 6:19 PM