(Gambar fail) Dr Mahathir (tiga kanan) yang juga Perdana Menteri keempat ketika itu semasa diberi taklimat mengenai projek jambatan bengkok.
(Gambar fail) Dr Mahathir (tiga kanan) yang juga Perdana Menteri keempat ketika itu semasa diberi taklimat mengenai projek jambatan bengkok.
Mohd Anwar Patho Rohman

KERAJAAN bercadang untuk meneruskan semula projek pembinaan jambatan bengkok yang diilhamkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum bersara pada tahun 2003.

Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata, Perdana Menteri bersetuju dengan cadangan itu jika kerajaan negeri mahu meneruskan projek berkenaan.

“Kami bercadang membina jambatan ketiga dan kerajaan negeri sudah berbincang dengan Kerajaan Persekutuan dalam pertemuan dengan Perdana Menteri bulan lalu.

“Perdana Menteri bertanya adakah kami memerlukan jambatan ketiga. Saya nyatakan, terpulang kepada Perdana Menteri kerana ia ilham beliau sebelum ini.

“Perdana Menteri berkata kami boleh bina kerana ia hanya babitkan jambatan di negeri kami. Kerajaan tidak ada halangan dan bersetuju dan kemungkinan besar jambatan bengkok akan diteruskan,” katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

Jambatan bengkok atau Jambatan Indah adalah projek jambatan sepanjang 1.4 kilometer bagi menggantikan Tambak Johor sepanjang 1.06 kilometer yang digunakan sejak tahun 1923.

Idea pembinaan jambatan bengkok tercetus kerana Singapura tidak mahu mengubah Tambak Johor yang menjasi struktur penghubung di sempadan negaranya.

Seni bina jambatan bengkok itu lebih tinggi bagi membolehkan kapal kecil melepasi Selat Johor namun Singapura enggan berkompromi dengan konsep itu.

Projek itu dibatalkan pada tahun 2006 pada era Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Osman berkata, beliau akan ke Singapura bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak lama lagi bagi membincangkan isu air, hubungan dua hala dan pelaburan.

“Kami akan berbincang dengan rakan sejawatan di Singapura bagi mendapat maklum balas mengenai projek ini,” katanya.

Kronologi Projek Jambatan Bengkok

5 Julai 1996: Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad mencetuskan idea untuk merobohkan Tambak Johor yang menjadi pintu masuk selatan negara dan diganti dengan jambatan baharu.

8 Julai 1996: Perdana Menteri Singapura ketika itu, Goh Chok Tong menganggap cadangan Malaysia untuk menggantikan Tambak Johor tidak mengejutkan republik itu.

1 Ogos 1996: Dr Mahathir umum jambatan baharu bagi menggantikan Tambak Johor bakal dibina secepat mungkin setelah mendapat persetujuan Singapura.

4 September 2001: Kedua-dua negara bersetuju dengan cadangan tambahan Malaysia berhubung pembinaan jambatan baharu yang dianggarkan siap pada tahun 2007.

13 Jun 2004: Malaysia memulakan kerja pembinaan fasa awal.

24 Januari 2005: Keputusan untuk membatal atau meneruskan pembinaan jambatan bernilai RM2 bilion itu terus berlarutan dan bergantung kepada hasil rundingan dengan Singapura.

27 Ogos 2005: Tiada kata putus dibuat oleh Singapura berkaitan projek berkenaan, namun Malaysia bertegas mahu meneruskannya.

6 Februari 2006: Singapura sedia bekerjasama dengan Malaysia untuk meneruskan pembinaan jambatan itu tetapi meletakkan dua syarat iaitu menjual pasir kepada republik itu dan membuka ruang udara Johor untuk keperluan latihan jet pejuangnya.

9 Mac 2006: Malaysia meneruskan kerja awal pembinaan jambatan berikutan Singapura tidak memberikan kata putus mengenai projek jambatan lurus.

12 April 2006: Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi memutuskan Malaysia menghentikan pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor.

26 Jun 2010: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah agar cadangan pembinaan jambatan bengkok dipertimbangkan semula.

17 April 2014: Dr Mahathir sekali lagi kepentingan jambatan itu dibina ketika menghadiri sebuah acara di Iskandar Malaysia.

From: Anwar

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Oktober 2018 @ 9:13 PM