Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


TIGA puluh pesawah di Parit Mat Keling, Bagan Serai melahirkan kebimbangan apabila sawah padi seluas hampir 60 hektar yang baru diusahakan, ditenggelami air akibat banjir.

Ketua Unit Peladang kampung itu, Norpazli Samad, 38, berkata dia menjangka lebih 80 peratus benih padi berusia antara 10 hingga 14 hari, akan mati berikutan ditenggelami air sejak seminggu lalu akibat hujan lebat.

Menurutnya, keadaan bertambah buruk apabila kampung itu dan beberapa kampung lain turut berlaku banjir.

“Jika ini berlaku, pasti pesawah terpaksa menanggung kerugian besar kerana terpaksa membeli benih padi lain bagi memulakan proses penanaman padi kali kedua.

“Setiap sehektar petak sawah kebiasaannya menggunakan sebanyak tujuh beg benih padi dan harganya pula sekitar RM35 hingga RM120 setiap beg bergantung pada jenis yang digunakan.

“Bayangkan berapa puluh ribu ringgit pesawah di sini mengalami kerugian, itu tidak termasuk kos lain seperti upah menabur benih padi, racun siput gondang dan membajak,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri Abdul Yunus Jamahri bersama agensi berkaitan, hari ini.

Norpazli berkata, pihaknya berharap agensi dan jabatan berkaitan dapat membantu pesawah dengan memberikan bantuan sewajarnya.

“Saya yang mengusahakan 2.4 hektar sawah padi turut mengalami kerugian apabila hampir kesemua sawah padi yang diusahakan ditenggelami air dan banjir,” katanya.

Sementara itu, Abdul Yunus berkata, kerugian besar dialami pesawah kerana anak padi yang baru tumbuh ditenggelami air sejak lebih seminggu lalu dan pasti kesemuanya akan mati jika keadaan itu berterusan.

“Kerajaan negeri mengambil berat perkara ini dan akan membuat perbincangan khas mengenai bentuk bantuan bersesuaian bagi membantu golongan pesawah,” katanya.

Terdahulu, Abdul Yunus menziarahi 29 mangsa banjir daripada sembilan keluarga meliputi Kampung Parit Air Hitam 3, Parit Mat Keling dan Parit Ali Kalang yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Parit Haji Aman sejak semalam.

Dalam kunjungan itu, Abdul Yunus turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada setiap keluarga terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Oktober 2018 @ 8:27 PM
ABDUL Yunus (kanan) melihat keadaan sawah padi yang ditenggelami air di Kampung Parit Mat Keling, Bagan Serai, hari ini. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Fauzi
ABDUL Yunus (kanan) melihat keadaan sawah padi yang ditenggelami air di Kampung Parit Mat Keling, Bagan Serai, hari ini. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Fauzi