Murni Wan Omar

DATUK Seri Anwar Ibrahim sudah memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pemula dikemukakan oleh seorang pengundi berdaftar Port Dickson yang memohon perisytiharan bahawa beliau tidak layak bertanding untuk mana-mana kerusi Parlimen.

Peguam J Leela yang mewakili Anwar mengesahkan bahawa pihaknya mengemukakan permohonan itu atas alasan pemohon iaitu Noraziah Mohd Shariff, 38, tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) dan untuk berbuat demikian.

Beliau juga berkata, isu yang dikemukakan oleh pemohon tidak boleh dicabar serta menyalahgunakan proses mahkamah.

Permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azizah Nawawi esok.

Pada 28 September lalu, Noraziah memfailkan saman itu melalui firma guaman Tetuan Raja Riza & Associates.

Beliau menamakan Anwar dan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan sebagai responden pertama dan kedua.

Dalam saman pemula itu, Noraziah memohon perisytiharan bahawa pengampunan yang diberikan kepada Anwar oleh Lembaga Pengampunan tidak membatalkan hilang kelayakannya menjadi Ahli Parlimen berikutan sabitan jenayah terhadapnya.

Noraziah turut memohon perisytiharan, Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam perkara membabitkan pengampunan terhadap Anwar, adalah tidak berperlembagaan.

Beliau turut memohon perisytiharan bahawa pengampunan yang diberikan Yang di-Pertuan Agong itu terbatal kerana Lembaga Pengampunan yang menasihati Yang di-Pertuan Agong tidak ditubuhkan selaras Artikel 42(5) Perlembagaan Persekutuan.

Turut dipohon, perisytiharan bahawa Anwar tidak berhak bertanding mana-mana kerusi Parlimen sehingga tempoh kelayakannya tamat dan perintah lanjut serta berpatutan yang dianggap sesuai oleh mahkamah.

Alasan yang dikemukakan Noraziah dalam saman pemula itu ialah, Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan seseorang disabitkan kesalahan jenayah yang dikenakan hukuman penjara melebihi setahun dan denda tidak kurang daripada RM2,000, hilang kelayakan untuk bertanding.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 6:30 PM