Rosli Ilham


“KERETA itu melulu masuk ke laluan kami. Kalau saya bertiga tidak mengelak sudah tentu kami turut menjadi korban,” kata Isma Faizu Ibrahim, 39, menceritakan kemalangan yang mengorbankan adiknya di Kilometer 68.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kampung Batu Tiong, hari ini.

Dalam kemalangan 4.48 petang itu, Mohd Rusmin Ibrahim, 36, dari Bachok, Kelantan, maut di tempat kejadian, manakala rakannya Nik Muhammad Amir Mazland, 21, yang menunggang motosikal lain turut dirempuh dan parah.

Isma Faizul berkata, ketika kejadian dia bersama 17 rakan termasuk adiknya berkonvoi motosikal dari Kuantan, Pahang, dalam perjalanan pulang ke Kota Bharu, Kelantan.

"Adik menyertai konvoi saya dan rakan yang kesemuanya bekerja di kilang elektronik di Pengkalan Chepa selepas bercuti di Gambang Water Park, Kuantan, selama dua hari satu malam," katanya.

Beliau berkata, dalam perjalanan pulang itu dia berada dalam kelompok lima motosikal dan arwah adiknya di belakang sekali.

"Ketika itu, semua rakan lain sudah berada di depan dan secara tiba-tiba kereta itu terbabas ke arah kami.

"Kami bertiga terselamat kerana sempat mengelak sebelum kereta itu merempuh motosikal ditunggang Nik Muhammad Amir dan motosikal adik," katanya.

Katanya, selepas rempuhan kuat itu dia dan rakan yang lain berpatah balik dan bergegas menyelamatkan adik dan rakannya itu.

"Adik ketika itu masih bernyawa dan saya sempat beberapa kali mengajar adik mengucap sebelum dia meninggal dunia.

"Saya sangat sedih dengan kejadian dan sama sekali tidak menyangka kegembiraan kami menyertai konvoi itu berakhir tragedi," katanya.

Berita berkaitan:

Maut dirempuh Perodua Myvi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 September 2018 @ 10:55 PM