GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

LIMA penuntut sebuah kolej swasta berjaya diselamatkan bomba selepas sesat hampir satu jam ketika mendaki Bukit Broga, dekat Semenyih, malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Mohd Rizal Buang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada kumpulan berkenaan pada 8.50 malam.

“Susulan itu empat anggota bomba bertugas dikejarkan ke lokasi kejadian dan melakukan proses mencari dan menyelamat.

“Setiba di lokasi pasukan penyelamat diberitahu terdapat lima individu sesat ketika dalam perjalanan turun dari puncak bukit berkenaan,” katanya.

Mohd Rizzal berkata, anggota bomba berjaya menemui mangsa yang berusia 19 hingga 32 tahun kira-kira sejam kemudian.

“Mangsa terdiri daripada seorang lelaki dan empat wanita itu berjaya dibawa turun ke kaki bukit.

“Semua mereka diperiksa pasukan kesihatan sebelum dibenarkan pulang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 September 2018 @ 9:33 AM