Rukiza (tengah) menyampaikan sumbangan susu formula khas dan barangan keperluan makanan kepada pesakit kanser limfoma, Nur Farahannis. FOTO Zuliaty Zulkifli
Rukiza (tengah) menyampaikan sumbangan susu formula khas dan barangan keperluan makanan kepada pesakit kanser limfoma, Nur Farahannis. FOTO Zuliaty Zulkifli
Zuliaty Zulkiffli


“SAYA akan cuba melawan kanser yang dihidapi sekarang ini kerana ramai yang memberi sokongan supaya kembali sihat seperti sedia kala sekali gus mencapai cita-cita menjadi guru,” kata Nur Farahannis Hasdi, 20.

Beliau mengakui perjalanan hidupnya semakin sukar selepas disahkan menghidap kanser limfoma sejak sembilan bulan lalu hingga terpaksa melupakan hasrat untuk menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tahun ini.

Susulan laporan NSTP semalam, ramai yang menghubungi ibunya untuk menyalurkan bantuan selain berkongsi masalah yang dihadapi remaja berkenaan.

Timbalan Pengerusi Persatuan Sahabat Prihatin Kedah, Rukiza Abu Bakar berkata, pihaknya terpanggil untuk membantu remaja itu dengan memberi sumbangan susu formula khas dan barangan keperluan makanan yang sesuai untuknya selepas terbaca laporan dari portal NSTP.

“Pemberian susu formula itu mampu menjadi makanan tambahan bagi meningkatkan selera pemakanannya selepas Nur Farahannis mengadu tidak selera makan sejak beberapa hari lalu

“Kami akan cuba membantu selain mendapatkan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) untuk meringankan bebanan dari segi kewangan kerana ibu bapanya kurang berkemampuan,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) hari ini.

Sementara itu, ibunya, Shahron Che Amin, 47, berterima kasih kepada pihak yang sudi membantu mengembalikan keceriaan anaknya sepanjang rawatan.

Katanya, Nur Farahannis hanya bermuram kerana tiada siapa yang datang untuk menceriakan dia tetapi dengan kehadiran pihak luar ia sedikit sebanyak menceriakannya.

“Kehadiran pelawat menyebabkan Nur Farahannis yang baru selesai menjalani pembedahan membuang kelenjar pada belakang limpanya Khamis lalu di HSB kembali ceria dan mampu bercakap serta tersenyum berbanding semalam.

“Selain itu, saya juga terpaksa menangguhkan rawatan transplan yang perlu dilakukan di Hospital Ampang, Kuala Lumpur bagi mengurangkan sel kanser yang dihidapinya anaknya itu biarpun doktor menyarankan rawatan terbabit kerana ketiadaan wang untuk meneruskan rawatan berkenaan,” katanya.

NSTP semalam menyiarkan kisah seorang ibu buntu apabila terpaksa dipotong gaji disebabkan terpaksa menjaga anaknya yang menghidap kanser malah perlu berulang alik dari Sik ke HSB bagi rawatan susulan kerana memerlukan perbelanjaan besar setiap bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 September 2018 @ 9:24 PM