SYEIKH Mohd Paiz.
SYEIKH Mohd Paiz.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

MURSHID Tarbiah Ruhiyyah, Tarekat dan Tasawwuf Ahmadiah Idrisiyyah, Syeikh Mohd Paiz Sheikh Ahmad, 79, meninggal dunia di rumah ibunya di Kampung Pondok Rasah, Seremban, hari ini.

Anak saudaranya, Mohd Tariq Mohd Kamal berkata, ulama tersohor itu meninggal dunia jam 5.30 petang sebaik dibenarkan keluar dari Hospital Columbia di Oakland, Seremban, jam 4 petang.

Katanya, Almarhum yang juga adik kepada bekas Mufti Negeri Sembilan, Syeikh Murtadha dimasukkan ke hospital oleh anaknya akibat kegagalan paru-paru, pagi semalam.

“Allahyarham dibenarkan keluar hospital sebelum dibawa ke rumah ibunya, Allahyarhamah Esah Abdul Wahab di Kampung Pondok Rasah. Namun kami mendapat berita sedih apabila beliau disahkan meninggal dunia," katanya ketika dihubungi, di sini, malam ini.

Mohd Tariq berkata, bapa saudaranya mengidap sakit tua sejak setahun lalu dan jenazah akan disembahyangkan pada 12 tengahari, esok.

“Jenazah kemudian akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Makam Haji Mohd Said selepas Zohor,” katanya.

Menurut Mohd Tariq, Allahyarham meninggalkan tiga anak iaitu dua lelaki dan seorang perempuan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 September 2018 @ 10:02 PM