Zatul Iffah Zolkiply

HANYA kerana permintaannya untuk mendapatkan wang tidak dipenuhi, seorang lelaki naik hantu apabila cuba menyerang bapanya menggunakan pisau dalam kejadian di Kampung Paya Balai Besar di Kuala Terengganu, Khamis lalu.

Bukan itu sahaja, suspek berusia 20-an turut menampar kakaknya berusia 32 tahun selepas wanita terbabit cuba menghalangnya menyerang bapa mereka dalam kejadian kira-kira 6 petang.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah berkata, suspek sebelum itu meminta sejumlah wang daripada bapa mereka namun permintaannya itu tidak dipenuhi.

Beliau berkata, tindakan itu menyebabkan suspek naik angin lalu mengambil sebilah pisau dan cuba menyerang bapa mereka.

“Kekecohan yang berlaku disedari kakak yang kemudian cuba membantu bapa mereka kerana bimbang kejadian lebih buruk berlaku sekiranya dibiarkan berterusan.

“Selepas keadaan kembali tenang, mangsa yang mahu keluar dihalang suspek sebelum lelaki terbabit bertindak menampar kakaknya," katanya.

Baharudin berkata, kakaknya bernasib baik apabila dibantu orang awam yang kebetulan berada di kawasan berkenaan.

Katanya, wanita itu yang bimbang keselamatan diri dan keluarga mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Dungun untuk tindakan lanjut.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 September 2018 @ 2:21 PM