Abdul Hadi dan Balasubramaniam (dua kiri) bersalaman bersama para perwakilan semasa hadir merasmikan Konvensyen Nasional DHPP Kali Pertama sempena Muktamar PAS ke-64. FOTO Ghazali Kori
Abdul Hadi dan Balasubramaniam (dua kiri) bersalaman bersama para perwakilan semasa hadir merasmikan Konvensyen Nasional DHPP Kali Pertama sempena Muktamar PAS ke-64. FOTO Ghazali Kori
Helmy Abd Rahman dan Zaid Salim

MOMENTUM kerjasama antara PAS dan UMNO akan diteruskan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PRK itu dianggap sebagai ‘latihan bersama’ dalam usaha meneruskan kerjasama antara kedua-dua parti selepas PRK Sungai Kandis dan Seri Setia.

“Yang pertama dalam negara demokrasi, boleh bertanding boleh letak jawatan, kita tak boleh halang siapa nak bertanding, kita anggap itu peluang untuk mengadakan latihan bersama antara pembangkang.

“Pengalaman di Sungai Kandis dan Seri Setia menunjukkan peningkatan undi, kalau di Seri Kandis ‘gear’ satu, di Seri Setia sudah gear tiga yang menjadi penunjuk awal dan kita jangka PD (Port Dickson) akan meningkat lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Kali Pertama di Stadium Tertutup Gong Badak di Kuala Nerus, hari ini.

Turut hadir, Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Dr Mahfodz Mohamed dan Ketua DHPP N Balasubramaniam.

Abdul Hadi juga tidak menolak kemungkinan PAS akan menghantar jentera terdiri untuk berkempen untuk calon UMNO pada PRK Port Dickson.

“Kita ada cawangan dan ahli di Port Dickson dan di luar juga yang boleh kita gunakan sebagai jentera PRK. Bagaimanapun ia bergantung kepada keperluan,” katanya.

PKR meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding kerusi Parlimen Port Dickson selepas penyandang, Laksamana Pertama (B) Datuk Danyal Balagopal Abdullah menghantar notis pengosongan kerusi berkenaan kepada Speaker Dewan Rakyat, kelmarin.

Langkah itu adalah sebahagian langkah peralihan kuasa Anwar untuk menjadi Perdana Menteri kelapan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 4:18 PM