MOHAMAD bergambar bersama pasukan pengaman MALBATT 850-6 pada majlis penyerahan bendera Malaysia dan Penghantaran Kumpulan Pertama MALBATT 850-6 di TUDM, Subang, hari ini. FOTO Syarafiq Abd Samad.
MOHAMAD bergambar bersama pasukan pengaman MALBATT 850-6 pada majlis penyerahan bendera Malaysia dan Penghantaran Kumpulan Pertama MALBATT 850-6 di TUDM, Subang, hari ini. FOTO Syarafiq Abd Samad.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor dan Husna Alias


KUMPULAN pertama pasukan pengaman Batalion Malaysia 850-6 (MALBATT 850-6) berlepas ke Lubnan, hari ini bagi menyertai misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNIFIL) selama setahun.

Kumpulan dianggotai 215 anggota dengan diketuai Komander MALBATT 850-6, Kolonel Azhan Md Othman berlepas menerusi Pangkalan Udara Subang pada 5 petang.

Majlis penghantaran pasukan itu turut dihadiri Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Mohamad dalam ucapan berkata, anggota berkenaan menjalani latihan integrasi pasukan (FIT) selama dua bulan di MALBATT Village, Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Penghantaran pasukan MALBATT 850-6 ke Lubnan dilakukan secara empat peringkat iaitu hari ini, 13, 20 dan 27 September ini.

“Ia membabitkan keseluruhan 850 anggota tentera termasuk 30 orang dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan seorang kakitangan Kementerian Pertahanan,” katanya.

Beliau berkata, pembabitan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam melaksanakan misi di bawah PBB di Lubnan adalah pengiktirafan dan kepercayaan masyarakat antarabangsa terhadap ATM.

“Adalah menjadi tanggungjawab seluruh anggota MALBATT 850-6 untuk memastikan pengiktirafan ini terus terpelihara demi memartabatkan lagi maruah negara dan ATM di persada antarabangsa.

“Pembabitan ATM di peringkat antarabangsa membuktikan Malaysia komited dalam melaksanakan tanggungjawab bagi memberi bantuan kemanusiaan kepada negara yang memerlukan demi memastikan aspirasi keamanan sejagat dapat direalisasikan,” katanya.

Beliau berkata, situasi keselamatan di Lubnan pada masa kini adalah tenang, namun ia boleh berubah menjadi konflik pada bila-bila masa.

“Sehubungan itu, anggota yang bertugas diharap dapat melaksanakan tugas dengan sebaik-baiknya.

“Saya menyeru supaya setiap anggota dapat mengekalkan semangat kerjasama sebagai satu pasukan supaya pasukan dapat berfungsi dengan efektif,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 September 2018 @ 5:44 PM