SHAIDI (tengah)  ketika bermesyuarat bersama kakitangannya.
SHAIDI (tengah) ketika bermesyuarat bersama kakitangannya.
Hamizah Badiran

Kuala Lumpur: Benarlah kata orang, setiap kesukaran pasti akan ada kebahagiaan di akhirnya. Usaha gigih tanpa jemu untuk kehidupan yang lebih baik akhirnya membuahkan hasil.

Mungkin disebabkan selama ini Shaidi Mohmad Zin, 50, tidak pernah merungut dengan setiap cabaran yang dilalui dan bekerja dengan ikhlas, kini dia berjaya menjadi wakil penjual Stesen Petronas Pengkalan Utama, Perak, selepas 10 tahun berusaha.

Menceritakan bagaimana kerjayanya bermula, anak kelahiran Perak ini memberitahu dia dibesarkan oleh bapa saudaranya dalam keluarga yang sederhana.

Katanya, pada awal 1990-an dia bermula sebagai kru di Stesen Petronas Manjoi, Ipoh dan melakukan pelbagai pekerjaan termasuk menyapu sampah sehingga melayan pelanggan di bahagian hadapan.

“Ketika itu saya bekerja bersama pak cik dan tanpa mengenal erti penat, saya pastikan semua tugas yang diberi dilakukan dengan bersungguh-sungguh serta mempelajari ilmu baharu setiap hari.

“Alhamdulillah, kerja keras saya selama itu dihargai dan diberi peluang untuk memegang jawatan sebagai penyelia, seterusnya pengurus di Stesen Petronas Manjoi,” katanya.

Selama tempoh itu, Shaidi memohon untuk menjadi wakil penjual stesen Petronas, di mana dia percaya dengan mengusahakan sendiri, dia dapat menjamin masa depan mereka sekeluarga.

Katanya, dia meneruskan tugas di Stesen Petronas Gunung Lang, Ipoh dari 2004 hingga 2008 sebelum ke Stesen Petronas Pengkalan Utama.

SHAIDI (kanan) menerima sijil penyempurnaan kursus pengurusan.
SHAIDI (kanan) menerima sijil penyempurnaan kursus pengurusan.

“Saya memilih untuk bekerjasama dengan Petronas kerana ia syarikat minyak kebangsaan dan berasa bangga berjaya memajukan diri daripada kru ke jawatan penyelia, pengurus stesen dan akhirnya seorang wakil penjual stesen Petronas.

“Petronas bertindak sebagai platform yang membantu saya berkembang secara profesional menerusi pelbagai latihan dan bengkel dalam menguruskan stesen ini dengan lebih baik,” katanya.

Shaidi juga percaya dalam mengejar impian, dirinya tidak boleh berhenti untuk menuntut ilmu dan melanjutkan pelajaran dengan mengambil ijazah dan sarjana pengurusan perniagaan sambil bekerja.

Pendidikan membantu dirinya mengurus perniagaan dengan lebih baik dan tersusun, mengajarnya mengenai kepentingan penjenamaan serta pemasaran apabila menjalankan perniagaan.

“Ia bukan sesuatu yang mudah kerana saya perlu mengimbangi antara pelajaran sambil bekerja sepenuh masa selain perlu mengorbankan masa bersama keluarga untuk menghadiri kelas pada hujung minggu.

“Waktu itu adalah masa yang mencabar kerana Stesen Petronas Pengkalan Utama baru sahaja dibuka dan kami perlu berusaha keras untuk meningkatkan jualan.

“Justeru, kami bekerja keras dengan melakukan pelbagai promosi untuk menarik pelanggan ke stesen ini,” katanya.

Kata Shaidi, dia tidak lahir dalam keluarga yang mewah dan bapa saudaranya juga melalui kehidupan yang sukar tetapi ia dapat diubah melalui pendidikan.

Shaidi antara contoh rakyat Malaysia yang membuktikan kesukaran hidup pada masa lalu bukan penghalang untuk dirinya berjaya. Berbekalkan kesanggupan, ia mampu menolong setiap individu untuk mengubah masa depan.

Sempena Hari Kebangsaan ini, harapan dan ketekunan adalah elemen penting dalam kejayaan dan tanpa mengira latar belakang kita, boleh mencapai matlamat serta aspirasi walau sesukar mana pun ia.

Pastikan harapan itu sentiasa mekar dan impian menjadi kenyataan. Selamat Hari Kebangsaan 2018. Untuk melihat video penuh, ikuti #CeritaKita di platform sosial media PETRONASBrands.

SHAIDI (tengah, bercermin mata) mengisi minyak kereta pelanggan ketika bekerja di stesen Petronas Manjoi.
SHAIDI (tengah, bercermin mata) mengisi minyak kereta pelanggan ketika bekerja di stesen Petronas Manjoi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 September 2018 @ 11:42 AM