MUHAMMAD Khairul kini mendapatkan rawatan di HTAA, Kuantan selepas disahkan menghidap kanser darah tahap tiga. FOTO ihsan UPSI.
MUHAMMAD Khairul kini mendapatkan rawatan di HTAA, Kuantan selepas disahkan menghidap kanser darah tahap tiga. FOTO ihsan UPSI.
Ihsan Noorzali


PENUNTUT Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik) dengan Pendidikan, Fakulti Sains dan Matematik, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Muhammad Khairul Jauhari Othman, 24, kini terlantar menderita akibat kanser darah tahap tiga.

Muhammad Khairul yang mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, Pahang tidak berkemampuan untuk menampung kos rawatan sebanyak RM168,000 bagi membuat kimoterapi dan pembedahan pemindahan sum-sum tulang.

Penolong Pendaftar Seksyen Kebajikan dan Perkhidmatan di Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) UPSI, Jamaliah Jalil berkata, bagi membantu meringankan beban penuntut berkenaan, pihaknya menggerakkan Rakan Suai Kenal bagi mengedarkan tabung sumbangan.

“Tabung ini diedarkan sempena pendaftaran kemasukan pelajar baharu UPSI pengambilan September 2018 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah di Tanjung Malim dan kami berjaya mengumpul kutipan sebanyak RM13,121.

“Sumbangan dikumpul ini akan disampaikan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Madya Dr Amin Md Taff dan Ketua Timbalan Pendaftar, Helmi Zaifura Abdul Rahman kepada Muhammad Khairul dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Sebelum ini, Muhammad Khairul seorang yang aktif sebagai ketua senamrobik dan menyertai pelbagai aktiviti termasuk ketika sakit, namun kini terpaksa menangguhkan pengajian pada semester tiga susulan kanser dialami semakin teruk.

Penuntut terbabit kini tinggal bersama ibunya, Salasiah Ahmad yang hanya seorang suri rumah tangga di Kampung Sungai Par, Jerantut, Pahang, manakala bapanya sudah meninggal dunia.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Muhammad Khairul di 011-33903235 atau Salasiah di 016-9357853.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 September 2018 @ 9:42 PM