Siti A'isyah Sukaimi


SEORANG pegawai penguat kuasa wanita Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sembilan cedera pada pinggang dan kaki selepas terjatuh dari siling ketika mengejar pekerja asing dalam operasi di kuarters kilang pembuatan sarung tangan di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, hari ini.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, Nur Erra Ellina Zaharudin, 24, yang bertugas di Unit Tindakan Imigresen terjatuh dari ketinggian kira-kira lima meter.

Ketua Pengarah JIM Datuk Seri Mustafar Ali berkata, kejadian berlaku apabila pegawai itu mahu mengejar seorang pekerja asing yang cuba melarikan diri melalui siling berkenaan.

“Sewaktu mengejar pekerja asing terbabit, pegawai wanita itu terpijak papan siling menyebabkannya terjatuh.

“Dia kemudian dibawa ke Hospital Putrajaya dan kini sedang menunggu pemeriksaan imbasan X-ray,” katanya ketika ditemui pemberita pada operasi itu, hari ini.

Selain pegawai wanita terbabit, beliau berkata, seorang pekerja warga Bangladesh juga mengalami kecederaan di kepala ketika cuba melarikan diri dalam operasi itu.

Mengulas lanjut, Mustafar berkata, operasi yang bermula jam 12.30 tengah hari itu susulan penamatan Program Penghantaran Pulang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Secara Sukarela (3+1) pada 30 Ogos lalu.

“Mana-mana PATI yang masih bergelandangan, berlambak dan berkeliaran di negara ini, kita gempur habis-habisan dan tindakan ini untuk memerdekakan negara daripada PATI.

“Kita memperoleh aduan daripada masyarakat yang ‘letih’ dan ‘lemas’ dengan kewujudan PATI di negara ini," katanya.

Sementara itu, Mustafar berkata, bermula 1 Januari hingga 30 Ogos lalu, sebanyak 9,527 operasi pemeriksaan dijalankan di seluruh negara, dengan seramai 116,927 warga asing diperiksa.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 29,177 tangkapan dilakukan dan seramai 880 majikan dikenakan tindakan.

Mengenai operasi hari ini, Mustafar berkata, kira-kira 1,800 pekerja asing di kilang pembuatan sarung tangan itu diperiksa.

Terdahulu, tinjauan semasa operasi berkenaan mendapati, pekerja asing melarikan diri dengan memanjat pagar setinggi kira-kira tiga meter dan melalui kawasan semak di bahagian belakang kilang itu.

Seorang pekerja asing wanita turut menangis, namun dia kemudian memberikan kerjasama selepas pegawai imigresen memberitahu mahu memeriksa dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 September 2018 @ 6:55 PM
MUSTAFAR (duduk dua dari kanan) melihat salinan pengenalan diri pekerja asing dalam operasi penguat kuasaan selepas tamat Program 3+1 di kilang pembuatan sarung tangan di Sepang, hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
MUSTAFAR (duduk dua dari kanan) melihat salinan pengenalan diri pekerja asing dalam operasi penguat kuasaan selepas tamat Program 3+1 di kilang pembuatan sarung tangan di Sepang, hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor