Nadia Hamid dan Veena Babulal


TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru umat Islam di negara ini bermuhasabah keikhlasan dan ketulusan melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada Allah.

DR Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut menyeru umat Islam memperbanyakkan sedekah kepada golongan memerlukan dan menjaga kesihatan ketika bulan mulia ini.

"Siapa pun kita, posisi mana pun kita berada atau diletakkan, kita ada peranan dan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan sebagai hamba Allah.

"Marilah muhasabah terhadap tanggungjawab sebagai hamba Allah, anggota keluarga, masyarakat dan rakyat negara berdaulat.

“Cuba tanya pada diri kita apakah yang telah kita usahakan dan lakukan selama ini benar-benar mengikut contoh teladan seperti ditunjukkan Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Sayyidatina Hajar.

"Marilah kita mengambil pengajaran dan iktibar daripada kisah hamba yang patuh dan tidak pernah ingkar perintah Allah," katanya sebelum menunaikan solat sunat Aidiladha bersama hampir 500 penduduk di Surau Al Falah, Taman Cempaka, Ampang, Kuala Lumpur, hari ini.

Dr Wan Azizah tiba di surau diiringi pegawai media dan pengawal peribadinya pada 8 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Ogos 2018 @ 8:22 PM
KUALA LUMPUR 22 OGOS 2018. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menyampaikan ucapan sebelum menunaikan solat sunat hari raya Aidiladha di Surau Al Falah Taman Cempaka. NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
KUALA LUMPUR 22 OGOS 2018. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menyampaikan ucapan sebelum menunaikan solat sunat hari raya Aidiladha di Surau Al Falah Taman Cempaka. NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN