FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


UMAT Islam yang terbabit melaksanakan ibadat korban hari ini disaran bersikap amanah dan jujur melakukan ibadat itu bertepatan dengan syariat Islam sebenar.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, sikap umat zaman ini yang tidak jujur dalam kehidupan seharian mereka sehingga terbawa ke dalam perkara ibadat.

"Kadangkala ada orang yang melakukan tugasan korban, mengambil bahagian tertentu daging korban tanpa meminta izin pemilik daging korban berkenaan.

"Ada yang pandai-pandai menyimpan bahagian daging yang mana dia sukai tanpa terlebih dahulu bertanya kepada tuan punya daging korban. Ini semua adalah perbuatan mengambil harta orang secara haram.

"Hendaklah empunya daging terlebih dahulu memberikan keizinan atas perbuatan terbabit dan jika tidak mereka sudah memakan daging yang haram kerana berlaku aniaya ke atas Muslim yang lain," katanya dalam khutbah Hari Raya Aidiladha di Masjid Alwi di Kangar, pagi ini.

Mohd Asri berkata, umat kini dilihat turut melanggar beberapa syariat lain apabila turut memberikan daging korban kepada tukang sembelihan binatang korban.

"Nabi Muhammad SAW tidak memberikan daging korban kepada penyembelih sebagai upah seperti yang diriwayatkan oleh Ali Abi Talib RA dalam sahih Muslim.

"Sebaliknya diberikan kepada penyembelih wang yang dikumpulkan dan bukan daging korban," katanya.

Terdahulu seramai 1,500 umat Islam melaksanakan solat Aidiladha di Masjid Alwi sebelum Mohd Asri memulakan khutbahnya selama 40 minit yang bermula 8.15 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Ogos 2018 @ 10:12 AM