GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Attirmidzie Rahman


REMAJA lelaki orang kurang upaya (OKU) maut selepas terjatuh ketika memanjat pokok kelapa di Kampung Tasek Berangan, Meranti, Pasir Mas, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, mangsa, Muhammad Amirul Mat Daud, 17, dipercayai terjatuh dari pokok itu pada ketinggian 15 meter.

Pelajar tingkatan lima, Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang parah di kepala dikejarkan ke Hospital Pasir Mas sebelum disahkan meninggal dunia.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Berangan, Pasir Mas, 5 petang tadi.

Abang mangsa, Mohd Hanizi, 21, berkata, adiknya yang menghidap autisme terjatuh ketika memanjat bagi memetik kelapa walaupun sudah dilarang beberapa kali berbuat demikian.

"Ketika kejadian saya berada di tempat kerja sebelum dimaklumkan oleh sepupu... saya tidak menyangka dia tetap memanjat pokok kelapa sudah dilarang keluarga.

"Adik seorang yang bermasalah dan memiliki kekurangan tetapi dia memang ringan tulang dengan suka buat kerja-kerja kampung untuk membantu menyara keluarga selain banyak membantu beri tunjuk ajar kepada adik beradik yang lain dalam pelajaran," katanya di Pasir Mas, hari ini.

Menurutnya, mereka sekeluarga mengakui cukup terasa dengan pemergian arwah namun reda ketentuan Allah SWT.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit.

"Kami menerima laporan berhubung kejadian dan mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Pasir Mas selepas cedera parah di bahagian kepala," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Ogos 2018 @ 10:55 PM