Siraj Mohd Zaini


SUAMI isteri yang leka menghabiskan malam minggu dengan menonton perlumbaan haram di Lebuhraya Persekutuan antara ratusan yang dicekup polis dalam Ops Samseng Jalanan di Shah Alam, awal pagi hari ini.

Pasangan berusia 22 tahun yang baru berkahwin hujung tahun lalu itu mendakwa hanya mahu bersiar-siar di kawasan itu dengan menunggang motosikal.

Dalam operasi jam 2 pagi itu, isteri lelaki berkenaan mendakwa menuruti kemahuan suaminya yang mahu menyaksikan kemeriahan ‘perlumbaan’ di litar haram terbabit.

“Kami datang dari Seksyen 7 (Shah Alam), dan tidak tahu lokasi mana mahu dituju lalu datang tengok orang berlumba di lebuh raya ini.

“Walaupun tidak berlumba, kami menyesal kerana turut ditahan polis untuk pemeriksaan lanjut,” katanya kepada wartawan NSTP.

Tinjauan mendapati lokasi di Batu Tiga hingga ke Padang Jawa, Klang itu sentiasa 'bingit' dengan deruman ekzos motosikal mat rempit yang bergadai nyawa semata-mata mempamerkan kehebatan jentera masing-masing terutama pada malam minggu.

Tidak kurang juga mereka yang sanggup membuang masa menjadi penonton perlumbaan haram itu di bahu jalan dan kawasan parkir stesen minyak di lebuh raya berkenaan.

Bagaimanapun, ratusan mat rempit terpinga-pinga selepas laluan lebuh raya itu dikepung dan ditutup polis di kedua-dua arah menyebabkan mereka tiada ruang lain untuk meloloskan diri.

AZMAN (kanan) memeriksa individu yang ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di Lebuhraya Persekutuan, Shah Alam, hari ini. FOTO Faiz Anuar
AZMAN (kanan) memeriksa individu yang ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di Lebuhraya Persekutuan, Shah Alam, hari ini. FOTO Faiz Anuar

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shari'at berkata, operasi berkenaan disertai seramai 16 pegawai dan 63 anggota polis.

Katanya, hasil Ops Samseng Jalanan bermula jam 11 malam semalam berjaya menahan sebanyak 103 motosikal dengan 13 daripadanya dipercayai terbabit dengan kegiatan lumba haram.

“Seramai 105 individu ditahan untuk diperiksa dalam operasi yang turut disertai JSPT Bukit Aman.

“Kesalahan paling banyak direkodkan antaranya menunggang tanpa lesen dan motosikal tidak mengikuti spesifikasi dibenarkan,” katanya.

Katanya, sebanyak 52 saman dikeluarkan pihaknya dan 36 motosikal disita bagi tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Ogos 2018 @ 10:06 AM
ANTARA mat rempit yang ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di Lebuhraya Persekutuan, Shah Alam, hari ini. FOTO Faiz Anuar
ANTARA mat rempit yang ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di Lebuhraya Persekutuan, Shah Alam, hari ini. FOTO Faiz Anuar