GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


PERSELISIHAN faham diikuti ejek-mengejek dipercayai punca lapan pelajar perempuan 'bergasak' di kompleks Plaza Merdeka, di Kuching, Sabtu lalu.

Pergaduhan dua kumpulan pelajar berusia antara 13 hingga 15 tahun yang tercetus kira-kira 4.15 petang itu bertambah hangat apabila disertai tiga lelaki berusia 17 hingga 31 tahun.

Kumpulan terbabit dikatakan tidak mengendahkan orang ramai yang mengunjungi kompleks itu, malah turut berlagak samseng apabila mengugut pengawal keselamatan yang cuba meleraikan pergaduhan.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ng Ah Lek berkata, bimbang keadaan bertambah tegang dan dikhuatiri menjejaskan ketenteraman pengunjung, seorang wanita yang bertugas sebagai pengawal keselamatan, segera memaklumkan kejadian itu kepada anggota Balai Polis Sentral yang terletak bersebelahan kompleks berkenaan.

Beliau berkata, anggota polis yang bergegas ke lokasi menahan 11 individu berusia antara 13 hingga 31 tahun termasuk tiga lelaki yang terbabit dalam pergaduhan lapan pelajar perempuan itu.

“€œPolis turut merampas sebilah pisau daripada salah seorang suspek dalam kejadian itu," katanya.

Beliau berkata, semua suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching untuk tindakan lanjut.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh di tempat awam dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah terhadap pengawal keselamatan.

“Punca sebenar kejadian masih disiasat, namun hasil siasatan awal mendapati ada kalangan pelajar perempuan itu berselisih faham sebelum disertai beberapa lagi rakan mereka,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memohon kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian itu supaya tampil membantu polis melengkapkan siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 10:34 AM