KHAIRY Jamaluddin berucap di Ceramah Rakyat ‘Janji Manismu’ di Taman Sri Andalas, Klang, malam semalam. FOTO Roslin Mat Tahir
KHAIRY Jamaluddin berucap di Ceramah Rakyat ‘Janji Manismu’ di Taman Sri Andalas, Klang, malam semalam. FOTO Roslin Mat Tahir
Khairul Azran Husin dan Mohd Nasaruddin Parzi


AHLI Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin mendakwa kerajaan sengaja menjadikan alasan hutang tinggi sebagai modal untuk melengahkan pelaksanaan janji manifesto mereka.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, sebagai sebuah kerajaan yang komited pada janji, alasan terbabit tidak boleh diterima sama sekali.

“Alasan hutang adalah untuk membeli masa supaya tidak melaksana janjinya,” katanya berucap pada program ‘Ceramah Rakyat Janji Manismu’ di Taman Sri Andalas, Klang, malam semalam.

Turut hadir memberi ceramah, Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa serta calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam.

Beliau berkata, kerajaan sendiri mengakui banyak janji manifesto yang dibuat sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu tidak bersandarkan kepada data dan sumber kewangan yang tepat.

Malah, kata beliau, ada data yang diterima ketika ini adalah maklumat sama yang pernah dimaklum dan dikeluarkan oleh kerajaan sebelum ini.

“Ini maknanya apa tuan-tuan? Kerajaan Pakatan Harapan (PH) bila meletakkan janji, dia tidak pasti sama ada boleh atau tidak ditunaikan,” katanya.

Pada ceramah itu, Khairy turut mengibaratkan PH sebagai ‘Kerajaan Kaji Semula’ ekoran penjelasannya yang tidak menyeluruh dalam soal pelaksanaan janji pemansuhan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan tol.

“Pakatan Harapan ini adalah kerajaan kaji semula. Bila kita tanya, jawapannya dalam kajian, sedang diteliti. Walhal mereka hanya ada tempoh yang pendek iaitu 100 hari untuk melunaskan janji.

“Jadi dalam PRK kali ini, kita kena kaji semula kerajaan Pakatan Harapan ini,” katanya.

Katanya, kemenangan calon BN dalam PRK ini adalah isyarat untuk menyahut seruan kerajaan supaya suara pembangkang yang berwibawa dapat dibentuk.

“Kita sambut apa yang kerajaan mahukan. Lepas ini (harap) seorang lagi (calon BN menang di) DUN Balakong dan Seri Setia, barulah suara rakyat didengar.

“Di Parlimen kita sudah ada suara pembangkang yang kuat. Sebab itu dia tidak berani kata apa. Sebab itu kita kena ada banyak suara di DUN Selangor baru kita boleh lantang bersuara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Ogos 2018 @ 12:41 AM