Siraj Mohd Zaini


SEORANG kakitangan mahkamah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini, atas lima pertuduhan penggubahan wang haram bernilai hampir RM400,000 pada April 2015 hingga Januari 2016 lalu.

Tertuduh, Shahnaz Khan Kamarzaman, 37, yang bertugas di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Mengikut pertuduhan, dia yang kini digantung tugas sejak 2015, didakwa memindahkan wang hasil penggubahan wang haram berjumlah RM363,668 kepada akaun pemaju perumahan bagi pembelian sebuah rumah di Bandar Saujana Putra, Jenjarom.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Public Bank Cawangan Taman Sri Muda, Taman Perindustrian Axis, Seksyen 25, antara 15 April 2015 hingga 8 Januari 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Penggubahan, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda hasil daripada aktiviti itu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Firdaus Abu Hanipah, manakala tertuduh diwakili peguam PG Cyril.

Terdahulu, Mohd Firdaus memohon tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin.

Namun, Cyril memohon agar jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya sudah membayar sejumlah jaminan membabitkan 18 pertuduhan pecah amanah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Mohd Sabri membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan mahkamah turut membenarkan kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Semalam, tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membabitkan 18 pertuduhan salah guna wang berjumlah RM61,000 yang dibayar oleh 18 individu untuk pembayaran denda.

Tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM35,000 bagi semua pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Sebutan semula semua kes membabitkan Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Penggubahan, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 dan Seksyen 403 Kanun Keseksaan ditetapkan pada 17 Ogos ini.

#kw kakitangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, penggubahan wang haram

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 1:53 PM