GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Safeek Affendy Razali


TIGA rakyat Malaysia termasuk seorang wanita dipercayai mendalangi kegiatan penyeludupan dadah dari Thailand ke Malaysia ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di selatan Thailand, semalam.

Mereka berusia antara 23 hingga 43 tahun dicekup bersama 462 kilogram (kg) ganja di rumah yang dipercayai kerap digunakan oleh sindiket pengedaran dadah terbesar di kawasan sempadan di Lorong Songchai, Mukim Sanakkam, Sadao.

Ketua Polis Sadao Kolonel Sawad Sinsaenyong berkata, hasil pemeriksaan mendapati rumah berkenaan dimiliki seorang pelabur berasal dari Malaysia.

“Berdasarkan siasatan awal, tiga suspek rakyat Malaysia terbabit mengaku menerima bekalan dadah ganja di sekitar kawasan Hatyai sebelum menyembunyikannya di rumah berkenaan.

“Apabila tiba waktu sesuai, suspek akan bersedia untuk menyeludup masuk dadah berkenaan ke Malaysia,” katanya kepada pihak media di Thailand, hari ini.

Katanya, dadah berkenaan ditemui disembunyikan dalam 11 karung guni dengan setiap satu mengandungi ganja seberat 42 kg.

Dalam serbuan sama, polis Sadao turut merampas sebuah lori yang didaftarkan di Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, pihaknya sudah dimaklumkan mengenai tangkapan dan rampasan dadah berkenaan daripada polis negara jiran.

“Pada masa ini kita masih lagi menunggu siasatan penuh yang dijalankan oleh Polis Sadao sebelum mereka berkongsi laporan berhubung aktiviti sindiket terbabit.

“Laporan dan maklumat berkenaan mungkin dapat dijadikan petunjuk kepada kita dalam mengenal pasti rangkaian dan saki-baki sindiket berkenaan yang beroperasi dari negara ini,” katanya.

Katanya, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) sering bertukar-tukar maklumat dalam usaha melumpuhkan kegiatan penyeludupan dadah rentas sempadan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Julai 2018 @ 7:12 PM