TIMBALAN Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan. FOTO Hazreen Mohamad
TIMBALAN Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan. FOTO Hazreen Mohamad
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


TIMBALAN Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa PAS dan UMNO seperti ‘adik-beradik’ dalam meletakkan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis, sebagai sesuatu yang baik.

Beliau berkata, tidak salah untuk kedua-dua parti itu mencapai kata sepakat demi kebaikan bagi mengharmonikan suasana.

“Itu namanya adik-beradik, siapa patut beralah dia akan beralah. Tetapi beralah kerana mencari kebaikan bukan kerana sesuatu yang tidak baik.

“Kita perlu meneroka pemikiran politik baharu yang tidak menyebabkan berpecah-belah kerana ini boleh menyebabkan rakyat kucar-kacir dan negara kerugian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian Maahad Tahfiz Al Ammar di Kompleks Al Ammar, Kampung Kanchong, Rantau, hari ini.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menyempurnakan perasmian maahad tahfiz itu.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, rundingan dengan PAS supaya menghantar seorang sahaja calon dari parti pembangkang adalah konsep pemikiran baharu yang cuba dilakukan UMNO.

“Kita boleh bersetuju dan tidak bersetuju dan mana yang baik kita setuju. Yang perlunya adalah kebersamaan demi masa depan negara, bangsa dan agama supaya tiada sesiapa rugi kerana ego kita sendiri.

“Seperti yang selalu saya cakap, antan dengan antan berlaga, ayam tepi lesung yang kenyang. Oleh itu, jangan kita berlaga-laga untuk kebaikan masa depan negara dan apa saja yang baik perlu diraikan,” katanya.

Sementara itu, apabila ditanya mengenai keadaan UMNO selepas PRU-14, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berkata, PRK Sungai Kandis adalah percubaan awal parti terbabit untuk mengukur sejauh mana keupayaan mereka selepas kalah pada PRU14 lalu.

Katanya, jika terus berdiam diri, mereka akan dikatakan tidak berbuat apa-apa dan pasif kerana tidak berusaha untuk menggerakkan semula parti.

“Namun dengan adanya PRK ini, kita dapat menggerakkan jentera supaya menjadi lebih aktif. Apa yang menarik, dalam percubaan kali ini, UMNO bukan lagi sebagai parti kerajaan, tetapi sebagai pembangkang,” katanya.

Justeru Mohamad berkata, UMNO tidak boleh menunggu sehingga PRU-15 untuk mengukur sejauh mana keupayaannya dan melihat sokongan rakyat.

Berita berkaitan

UMNO, PAS 'adik-beradik' - Tun M

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 5:50 PM