ANGGOTA bomba ketika menjalankan usaha mencari mangsa.
ANGGOTA bomba ketika menjalankan usaha mencari mangsa.
Adnan Ibrahim

Kluang: “Sebelum kejadian, dia minta kami merakam gambarnya ketika menjala ikan selain kelihatan teruja kerana mendapat ikan banyak setiap kali jalanya ditarik,” kata Mohd Hanafi Mohd Idrus, 31.

Mohd Hanafi adalah rakan kepada Mohd Firdaus Abdullah, 21, yang lemas selepas tergelincir ke dalam lombong tinggal di Ladang Cornation berhampiran Taman Saujana, dekat sini, jam 1.15 tengah hari, semalam.

Menurutnya, dia bersama arwah dan empat lagi rakan ke kawasan itu jam 9.30 pagi sebelum memasang jaring dan menjala sehingga jam 1 tengah hari.

Katanya, sebelum bergerak balik, dia dan seorang lagi rakan keluar membeli minuman dengan meninggalkan mangsa bersama tiga lagi rakan lain yang terus menjala ikan untuk menambah jumlah tangkapan.

“Ketika menjala ikan, beberapa kali arwah minta kami ambil gambarnya termasuk video kononnya untuk dijadikan kenangan kerana setiap kali tebaran jalanya mendapat tangkapan ikan yang banyak.

“Sejurus pulang membeli air, tiga rakan berada di dalam air kerana sedang berusaha mencari Mohd Firdaus yang dikatakan tergelincir serta tenggelam ke dasar lombong,” katanya di Bilik Forensik Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang di sini, semalam.

Mohd Hanafi berkata, apa yang menghairankan arwah pandai berenang manakala lokasi mayat mangsa ditemui di tengah lombong sedangkan arwah terjatuh berhampiran tebing saja.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kluang Penolong Kanan Penguasa Bomba Akob Sedek berkata, pihaknya menerima panggilan jam 1.23 tengah hari sebelum lapan anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) Azmi Md Bani ke lokasi kejadian.

“Mayat mangsa ditemui di tengah dasar lombong jam 2.36 petang oleh pasukan penyelam dari Balai Bomba dan Penyelamat Kluang sebelum dirujuk ke HEBHK,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Julai 2018 @ 7:34 AM