PEGAWAI Jabatan Tenaga Kerja (JTK) negeri melakukan pemeriksaan di penginapan pekerja di restoran di Sungai Petani dalam Ops Patuh yang dilakukan, semalam. FOTO Ihsan JTK
PEGAWAI Jabatan Tenaga Kerja (JTK) negeri melakukan pemeriksaan di penginapan pekerja di restoran di Sungai Petani dalam Ops Patuh yang dilakukan, semalam. FOTO Ihsan JTK
Nor Farhani Che Ad


SEMBILAN majikan di tiga daerah di Kedah didapati melakukan pelbagai kesalahan mengikut undang-undang perburuhan ketika pemeriksaan Ops Patuh, semalam.

Dalam operasi serentak bermula 9.30 pagi hingga 3 petang di Sungai Petani, Kulim dan Pendang itu, pegawai Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bertindak melakukan pemeriksaan ke atas 10 premis perniagaan berbeza.

Pengarah JTK negeri, Azrul Hisham Kamuruzzaman berkata, antara kesalahan yang dilakukan majikan adalah gagal melaksanakan bayaran gaji minima RM1,000 sebulan, kelewatan membayar gaji dan kegagalan menyediakan kontrak perkhidmatan.

Katanya, selain itu majikan terbabit didapati gagal memberi penyata gaji kepada pekerja, tidak menyimpan buku daftar pekerja, tidak memberi cuti rehat tahunan, cuti umum dan cuti sakit kepada pekerja.

"Dalam operasi kali ini, kita memeriksa premis perniagaan membabitkan restoran, pasar raya, stesen minyak, kedai borong dan syarikat dalam sektor pembuatan.

"Kita dapati tiga daripada empat restoran yang diperiksa di Sungai Petani gagal mengikut garis panduan yang disediakan JTK termasuk tidak menyediakan penginapan pekerja mengikut garis panduan yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan di Sungai Petani, hari ini.

Azrul Hisham berkata, sebanyak 14 kertas siasatan dibuka untuk tujuan pendakwaan dan kompaun atas setiap kesalahan yang dilakukan majikan.

Jika sabit kesalahan, majikan boleh dihukum denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap pekerja di bawah Seksyen 43, Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732), manakala bagi Seksyen 99A, Akta Kerja 1955 (Akta 265) yang boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap kesalahan.

Beliau berkata, operasi penguatkuasaan akan diteruskan di seluruh negeri itu dan pihaknya menggesa kira-kira 60,000 tempat kerja yang berdaftar dengan JTK Kedah mematuhi undang-undang demi memastikan hak pekerja tidak terabai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Julai 2018 @ 1:05 PM