Ahli-Ahli Dewan Negara bergambar selepas Majlis Mengangkat Sumpah. FOTO Eizairi Shamsudin
Ahli-Ahli Dewan Negara bergambar selepas Majlis Mengangkat Sumpah. FOTO Eizairi Shamsudin
BERNAMA

PENGERUSI Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf), P Waytha Moorthy antara lapan individu yang mengangkat sumpah sebagai senator di hadapan Yang di-Pertua Dewan Negara Tan Sri S A Vigneswaran, di Parlimen, hari ini.

Jawatan beliau adalah menerusi lantikan Yang di-Pertuan Agong.

Ini adalah lantikan kedua Waytha Moorthy yang sebelum ini pernah dilantik sebagai senator pada 2013 namun beliau meletakkan jawatan selepas 10 bulan berkhidmat.

Turut mengangkat sumpah ialah Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad; Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Ketereh, Kelantan, Dr Mohd Radzi Md Jidin; Ketua PPBM Pulau Pinang Marzuki Yahya; Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) Datuk Ismail Ibrahim.

Masing-masing mengangkat sumpah sebagai senator buat pertama kali menerusi lantikan Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, buat pertama kali Pesuruhjaya PAS Terengganu Datuk Hussain Awang mengangkat sumpah sebagai senator yang dipilih oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu manakala Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Asmak Husin dipilih oleh DUN Kelantan.

Mereka dilantik untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa hari ini bagi Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-14 dan adalah barisan pertama yang dilantik setelah Pakatan Harapan yang membentuk kerajaan selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lalu.

Sementara itu, Vigneswaran dalam ucapannya berkata, pemilihan dan pelantikan kelapan-lapan anggota Dewan Negara tersebut memberi peluang kepada mereka untuk menabur khidmat bakti dan sumbangan kepada bangsa dan negara di peringkat badan legislatif tertinggi negara ini.

Beliau berkata, demokrasi di negara ini perlu dibina atas sifat keperibadian yang tinggi disertai pemikiran terbuka serta rasional.

“Sifat yang mulia dan luhur haruslah dijadikan contoh teladan yang terpuji bukan sahaja dalam kalangan ahli-ahli berhormat, bahkan dalam kalangan khalayak ramai terutamanya generasi muda,” katanya.

Katanya pematuhan senator terhadap lunas-lunas keperibadian yang mulia dan berketerampilan akan membantu memperkasa imej Parlimen sebagai institusi perundangan berwibawa dan disanjung tinggi di persada antarabangsa.

Vigneswaran turut merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ucapan tahniah turut diberikan kepada bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohamad Ariff Md Yusof yang dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat serta Timbalannya Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Nga Kor Ming, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Julai 2018 @ 5:08 PM