Junita Mat Rasid

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan Penolong Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Johor bagi membantu siasatan kes lima kontraktor disyaki membuat tuntutan palsu bernilai RM400,000 berkaitan kerja penganjuran program yang sebenarnya tidak pernah diadakan.

Suspek wanita berusia 30 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Johor, kira-kira jam 11 pagi tadi bagi membantu siasatan kes terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, yang mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan wanita itu bagi membantu siasatan.

Sebelum ini pada kira-kira jam 10 malam tadi, SPRM Johor menahan lima kontraktor daripada syarikat berasingan berusia lingkungan 30 hingga 50-an bagi membantu siasatan berhubung siasatan berkaitan tuntutan palsu.

Hasil siasatan yang dijalankan mendapati kesemua suspek membuat tuntutan palsu berkaitan kerja penganjuran Program Karnival SDSI (Satu Daerah Satu Industri) dan Keusahawanan bagi daerah Segamat, Mersing, Muar, Kluang, Tangkak dan Kulai serta Program Minggu PKS (Program Kecil dan Sederhana) Kebangsaan Peringkat Negeri Johor sedangkan semua program terbabittidak dilaksanakan.

Jumlah keseluruhan tuntutan palsu yangdituntut adalah melebihi RM400,000.

Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Johor Bahru, Norhidayah Abdul Manaf, membenarkan permohonan SPRM bagi menahan reman semua kontraktor itu selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan lanjut.

Berita berkaitan:

5 kontraktor dicekup buat tuntutan palsu

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Julai 2018 @ 2:52 PM