Luqman Arif Abdul Karim


PELANTIKAN Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Ketua Pembangkang mendapat persetujuan sebulat suara, termasuk PAS.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata perkara itu dipersetujui dalam satu mesyuarat di ibu negara, semalam yang turut dihadiri semua parti pembangkang.

"Pada mesyuarat itu, hanya satu nama diusulkan dan kami bersetuju sebulat suara untuk lantik Datuk Zahid sebagai Ketua Pembangkang.

"Langsung tiada bantahan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada pelantikan Ahmad Zahid mendapat tentangan parti pembangkang lain atau wujud saingan daripada beberapa calon.

Annuar menjelaskan, pertemuan itu berjalan lancar tanpa sebarang pertikaian kerana hanya satu nama calon Ketua Pembangkang diketengahkan, sekali gus mendapat persetujuan bersama secara tuntas.

Sehubungan itu katanya, Ahmad Zahid akan memikul tugas berkenaan sepanjang sidang Parlimen Ke-14, manakala Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dilantik sebagai Ketua Whip Barisan Nasional (BN).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Julai 2018 @ 12:13 PM