ANGGOTA APM Mersing menunjukkan ular sawa seberat 100kg dan panjang tujuh meter yang ditangkap di Pekan Jemaluang, Mersing, semalam. FOTO Mohd Sah Muda.
ANGGOTA APM Mersing menunjukkan ular sawa seberat 100kg dan panjang tujuh meter yang ditangkap di Pekan Jemaluang, Mersing, semalam. FOTO Mohd Sah Muda.
Mohd Sah Muda


PASUKAN Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menangkap ular sawa seberat lebih 100 kilogram (kg) dengan panjang tujuh meter di kebun sayur berhampiran Pekan Jemaluang, Mersing, semalam.

Pegawai APM Daerah Mersing, Nurnajibah Abdullah, berkata pihaknya menerima panggilan daripada Balai Polis Jemaluang memaklumkan penemuan ular sawa berkenaan pada 9 pagi.

“Sebaik mendapat maklumat, enam anggota APM dengan dibantu dua anggota polis Jemaluang bergegas ke kawasan berkenaan dengan membawa peralatan menangkap ular kerana dilaporkan reptilia berkenaan sangat besar.

“Kerja menangkap ular itu agak sukar kerana ia bersembunyi dalam parit berhampiran.

“Tetapi, ia tidak bertindak ganas kerana keletihan dipercayai baru saja membaham seekor anjing,” katanya.

Nurnajibah berkata, operasi menangkap ular itu mengambil masa setengah jam dengan membakar asap bagi memaksa ular itu keluar dari tempat persembunyiannya.

“Apabila ular itu keluar, ia memudahkan anggota kami menangkap sebelum memasukkannya dalam sangkar.

“Ia adalah tangkapan ular terbesar di Mersing sehingga kini berbanding tahun sebelumnya hanya seberat 50kg saja.

“€œUlar ini akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang awam supaya tidak bertindak sesuka hati sekiranya terserempak haiwan ini kerana bimbang boleh mencederakan dan mendatangkan bahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Julai 2018 @ 12:02 PM