LELAKI parah selepas pergelangan tangan kanannya hampir putus ditetak dalam pergaduhan di kedai kopi di Jalan Siakap, Bagan Serai, malam tadi. FOTO ihsan pembaca.
LELAKI parah selepas pergelangan tangan kanannya hampir putus ditetak dalam pergaduhan di kedai kopi di Jalan Siakap, Bagan Serai, malam tadi. FOTO ihsan pembaca.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


PERGELANGAN tangan seorang lelaki hampir putus dipercayai ditetak dalam pergaduhan di kedai kopi berhampiran pasar raya di Jalan Siakap, Bagan Serai, malam tadi.

Dalam kejadian 9.40 malam itu, lelaki berusia 30-an itu parah parah setelah pergelangan tangan kanannya ditetak dengan menggunakan senjata tajam oleh seorang suspek lelaki.

Sumber berkata, mangsa dipercayai terbabit pergaduhan dengan suspek sewaktu berada di dalam premis berkenaan.

Menurutnya, punca pergaduhan belum dapat dipastikan dan mangsa hampir tidak sedarkan diri setelah diserang suspek.

“Difahamkan, dua suspek terbabit dalam pergaduhan itu dan kejadian dikatakan berpunca daripada penemuan dompet di lokasi kejadian.

“Mangsa yang parah kemudian dibawa ke Hospital Taiping bagi mendapatkan rawatan kecemasan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, siasatan sedang dijalankan bagi mengetahui punca dan motif kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 9:57 AM