FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Hadzlihady Hassan


SUAMI isteri maut selepas motosikal ditunggang dirempuh sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Kampung Baru, Ayer Itam, di Georgetown, hari ini.

Dalam kejadian 6 pagi itu, Mohammed Nawab Mat Kharsa, 53, dan isterinya, Mahamoodah Bee Ibramsah, 56, yang membonceng motosikal terbabit meninggal dunia di lokasi akibat parah di seluruh badan.

Ketika itu, pasangan suami isteri terbabit dalam perjalanan ke tempat kerja.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, siasatan mendapati pasangan terbabit dalam perjalanan dari Ayer Itam ke pusat bandar.

“Bagaimanapun, ketika tiba di persimpangan lampu isyarat Kampung Baru, mangsa yang menunggang Yamaha Lagenda membuat pusingan U.

“Sebuah kereta Audi dipandu lelaki berusia 34 tahun dari arah Ayer Itam tidak sempat mengelak dan merempuh motosikal pasangan terbabit,” katanya.

Anuar berkata, kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat sudah dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Jun 2018 @ 6:21 PM