ANGGOTA APM Segamat menangkap ular sawa batik seberat 150kg yang menelan kambing betina di dalam kandang kambing di Kampung Tebing Tinggi, Segamat, hari ini. FOTO  Ahmad Ismail.
ANGGOTA APM Segamat menangkap ular sawa batik seberat 150kg yang menelan kambing betina di dalam kandang kambing di Kampung Tebing Tinggi, Segamat, hari ini. FOTO Ahmad Ismail.
Ahmad Ismail


MISTERI kehilangan beberapa kambing di Kampung Tebing Tinggi, Segamat sejak kebelakangan ini terjawab apabila penduduk kampung menemui seekor ular sawa batik kekenyangan di dalam kandang kambing, hari ini.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Segamat, Kapten Mohd Nazlan Ruslan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 11 pagi memaklumkan menemui seekor ular sawa batik seberat 150 kilogram (kg) dalam keadaan kekenyangan di dalam kandang kambing dengan bahagian tengah perutnya membuncit sebesar 0.5 meter.

Katanya, pemilik kandang kambing itu yang berusia 30-an memaklumkan seekor kambing betina seberat 25kg tiada di dalam kandang berkenaan, dipercayai ditelan ular sawa batik sepanjang lima meter itu.

Menurutnya, pemilik berkenaan menyedari kejadian itu apabila ingin membersihkan kandang kambing dan memaklumkan kepada penduduk sebelum menghubungi APM.

“Lima anggota APM Segamat dikejarkan ke tempat kejadian dan kami mengambil masa 20 minit untuk menangkap ular berkenaan.

“Walaupun kekenyangan, ular berkenaan masih agresif dan cuba menyerang anggota, mujurlah mereka terlatih dan dilengkapi peralatan menangkap ular,” katanya ketika ditemui di Pejabat APM Segamat di Jalan Omar, hari ini.

Menurutnya, beberapa minggu lalu pihaknya menerima aduan penduduk Kampung Tebing Tinggi dan Kampung Bukit Tunggal mendakwa kehilangan kambing, ayam dan itik yang disimpan untuk dijual menjelang Aidilfitri.

Katanya, ular sawa batik itu dipercayai antara terbesar ditemui tahun ini dan akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERLIHITAN) Segamat dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Jun 2018 @ 9:08 PM