PULAU Batu Puteh yang menjadi rebutan Malaysia dan Singapura. -Foto fail
PULAU Batu Puteh yang menjadi rebutan Malaysia dan Singapura. -Foto fail
Ahmad Johari Mohd Ali


MAHKAMAH Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda, mengarahkan supaya permohonan Malaysia untuk semakan dan penafsiran penghakiman berhubung kes kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dikeluarkan daripada senarai kes.

Pejabat Peguam Negara dalam kenyataan akhbar hari ini berkata, melalui perintah dikeluarkan Selasa lalu, mahkamah itu memaklumkan kepada Malaysia dan Singapura bahawa ia turut merekodkan permohonan itu tidak akan diteruskan berikutan persetujuan kedua-dua belah pihak pada 23 Mei lalu.

Malaysia memfailkan permohonan semakan pada 2 Februari 2017 dan pada 30 Jun tahun sama, memohon supaya mahkamah mentafsirkan penghakimannya berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang diputuskan pada 23 Mei 2008.

Permohonan semakan itu difailkan berdasarkan penemuan baharu Malaysia melalui tiga dokumen penting, menunjukkan pegawai tertinggi Singapura tidak pernah menganggap ia memperoleh kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh daripada Johor.

Dua daripada dokumen itu yang hanya boleh diakses kepada awam selepas ICJ memberi penghakimannya, turut menunjukkan pegawai Tentera Laut British mengakui perairan di pulau terbabit adalah milik Johor.

Sementara itu, Malaysia juga mendakwa peta operasi tentera laut menunjukkan sempadan wilayah Singapura tidak termasuk Pulau Batu Puteh atau dikenali sebagai Pedra Branca.

Berdasarkan dokumen permohonan itu, Malaysia menyatakan, penemuan baharu menunjukkan tanggapan Singapura bahawa Pedra Branca/Pulau Batu Puteh tidak berada dalam wilayah republik itu, berterusan melalui tempoh kritikal penggal pertama 1960-an ketika ia melalui perubahan perlembagaan dan berakhir pada Februari 1966, apabila mencapai kemerdekaan dan keluar daripada Persekutuan Malaysia.

Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak ke atas Pulau Batu Puteh manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu adalah milik Malaysia.

Bagaimanapun, ICJ turut memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Pulau Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 5:32 PM