TAN dibawa turun dari Gunung Mulu dengan helikopter bomba. FOTO Ihsan Bomba
TAN dibawa turun dari Gunung Mulu dengan helikopter bomba. FOTO Ihsan Bomba
Ekhwan Haque Fazlul Haque


SEORANG pendaki terpaksa mendapatkan bantuan bomba untuk membawanya turun dari Kem 3 Gunung Mulu, di Miri, selepas mengalami kecederaan tulang belakang, pagi tadi.

Mangsa, Tan Fung Chu, 35, dibawa turun dari Gunung Mulu menggunakan helikopter bomba jam 9.30 pagi bagi mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Miri.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu jam 6 petang semalam.

Menurutnya, keadaan muka bumi gunung berkenaan yang berbahaya menyebabkan pihaknya hanya dapat menghantar pasukan penyelamat menggunakan helikopter pagi ini.

"Mangsa yang berasal dari Sabah itu terjatuh dan mengalami kecederaan tulang belakang badan menyebabkannya tidak dapat bergerak.

"Pasukan Udara Bomba yang berpangkalan di Lapangan Terbang Miri kemudiannya dihantar untuk operasi menyelamatkan mangsa pagi ini," katanya, hari ini.

Ling Hii berkata, mangsa dinaikkan menggunakan kaedah 'winching' kerana kawasan yang sempit menyebabkan helikopter tidak dapat mendarat.

Katanya, mangsa kemudian terus diterbangkan ke Hospital Miri yang mengambil masa 30 minit penerbangan dari Gunung Mulu.

"Mangsa diserahkan kepada pasukan perubatan hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mei 2018 @ 12:03 PM