Mohd Fahmi Mohd Yusof


UMNO Johor menganggap tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka yang melompat menyertai Pakatan Harapan (PH) sebagai wakil rakyat bebas.

Ini berikutan ADUN Johor Lama, Sedili dan Endau terbabit sudah dipecat walaupun tindakan mereka untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak diterima.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pucuk pimpinan parti juga sudah mengambil tindakan memecat ketiga-tiga ADUN berkenaan.

“Ketiga-tiga wakil rakyat ini sudah dipecat, ramai yang tidak maklum mengenai perkara ini, mereka bukan lagi ahli UMNO.

“Mereka juga tidak diterima parti dalam Pakatan Harapan, dan saya anggap mereka ini sebagai wakil rakyat bebas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Perhubungan UMNO negeri pertama selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) di Ibu Pejabat UMNO Johor di Johor Bahru, hari ini.

MOHAMED Khaled (kiri) mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan UMNO yang dihadiri Ketua Bahagian di Ibu Pejabat Perhubungan UMNO negeri, di Johor Bahru. -Foto ZAIN AHMED
MOHAMED Khaled (kiri) mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan UMNO yang dihadiri Ketua Bahagian di Ibu Pejabat Perhubungan UMNO negeri, di Johor Bahru. -Foto ZAIN AHMED

Turut hadir, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Md Jais Sarday dan Ketua Penerangan UMNO negeri Datuk Samsol Bari Jamali.

Sementara itu, Mohamed Khaled mengingatkan kerajaan pusat supaya bertindak sebagai kerajaan berwibawa dan tidak mengambil wakil rakyat daripada UMNO menyertai mereka.

“Rakyat tetap akan terima mereka (Pakatan Harapan) sebab rakyat sudah memilih mereka (dalam PRU-14),” katanya.

Pada 12 Mei lalu, ADUN Sedili Rasman Ithnain, ADUN Johor Lama Rosleli Jahari dan ADUN Endau Alwiyah Talib mengumumkan menyertai PPBM.

Berita berkaitan

Tindakan tak bermoral

Tiga ADUN BN di Johor sertai PPBM

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mei 2018 @ 9:25 PM