NUR Muhammad (kiri) dan Aniq. FOTO Ihsan JKM
NUR Muhammad (kiri) dan Aniq. FOTO Ihsan JKM
Mary Victoria Dass


SEPERTI kanak-kanak lain, dua kanak-kanak lelaki mangsa pengabaian turut memasang impian meraikan Aidilfitri bersama keluarga.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Johor Bahru, Normawarni Mahat berkata, malangnya sehingga kini tiada mana-mana waris kedua-dua kanak-kanak itu tampil melawat atau menuntut mereka.

Beliau berkata, kanak-kanak berkenaan termasuk Nur Muhammad berusia dalam anggaran lima tahun yang menjadi mangsa pengabaian sejak 2015.

Menurutnya, mengikut maklumat diperoleh, ibu bapa kanak-kanak lelaki itu adalah banduan dan menjalani hukuman penjara di Kluang berikutan kesalahan penyalahgunaan dadah.

Katanya, bagaimanapun pihaknya gagal mendapatkan maklumat lanjut berkaitan pasangan berkenaan termasuk tempoh hukuman penjara.

"Selain ibu bapanya, Nur Muhammad tidak pernah menerima kunjungan daripada warisnya yang lain.

"Selama tiga tahun iaitu mulai 11 Februari 2015 hingga 10 Februari 2018, kanak-kanak berkenaan ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak Kuala Kangsar dan Rumah Kanak-Kanak Taman Bakti, Kepala Batas, Pulau Pinang.

"Selepas tamat tempoh perlindungan, kanak-kanak berkenaan mendapatkan perlindungan di Rumah Perlindungan Kanak-Kanak Johor," katanya.

Sementara itu, JKM juga memohon kerjasama orang ramai untuk mengesan ibu bapa atau waris kepada seorang lagi kanak-kanak lelaki dikenali sebagai Aniq, 4.

Beliau berkata, kanak-kanak itu diselamatkan dan ditempatkan di Rumah Perlindungan Kanak-Kanak Johor Bahru selepas ditemui merayau seorang diri di sekitar kawasan Medan Selera, Sri Stulang, Johor Bahru, pada 20 April lalu, tanpa pengawasan orang dewasa.

Beliau berkata, sepanjang Aniq berada di institusi JKM tiada sebarang tuntutan diterima dari mana-mana waris atau keluarganya.

Menurutnya, Aniq dirujuk menerusi lbu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan susulan ditemui seorang diri tanpa diawasi, selain didapati boleh berkomunikasi dan mendakwa ibu bapanya ditahan oleh polis.

"Kanak-kanak ini juga tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri ketika ditemui dan hal ini menyukarkan pihak JKM untuk meneruskan pengurusan bagi kes kanak-kanak.

"Aniq ditempatkan di institusi perlindungan JKM selaras dengan peruntukan Seksyen 19 Akta Kanak-Kanak 2001 untuk sementara waktu," katanya.

Orang ramai yang memiliki maklumat berkaitan waris kanak-kanak berkenaan boleh menghubungi Pelindung Kanak-Kanak JKM Johor Bahru, Zaid Ikhwan Lim di talian 07-2232606.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mei 2018 @ 5:56 PM