TUAN Ibrahim Tuan Man. FOTO arkib NSTP
TUAN Ibrahim Tuan Man. FOTO arkib NSTP
Syanty Octavia Amry


PAS komited bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan yang kini diterajui Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kejayaan PH membuka era baharu dalam politik negara.

“Sejajar konsep federalisme yang menekankan pentingnya hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan dan negeri, PAS akan meneruskan kerjasama baik dengan kerajaan baharu.

“Malah, PAS bersedia menjadi rakan dialog dalam membangunkan negara menerusi konsep taawun siyasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, selaras budaya politik matang dan sejahtera, PAS akan menyokong dasar kerajaan yang mendorong ke arah kebaikan.

“Dari sudut lain pula, PAS sedia menjadi pembangkang yang membina dan berkesan ke arah kesejahteraan dan pembangunan negara.

“Pendekatan politik semak dan imbang ini akan membantu kerajaan melaksanakan pembangunan negara yang cemerlang.

“Menerusi dasar Islam yang dibawa, PAS akan memperkasakan suasana harmoni antara kaum dan memperkasakan jati diri rakyat Malaysia khususnya dalam kalangan umat Islam,” katanya.

Walaupun PAS bukan sebahagian daripada kerajaan yang menerajui negara, beliau berkata, kejayaan parti itu di Terengganu dan Kelantan dengan keseluruhan 90 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan 18 Ahli Parlimen dengan sokongan lebih dua juta pengundi bukan angka kecil.

Tuan Ibrahim berkata, langkah terbaik ialah menjadikan PAS rakan dialog di peringkat negeri dan persekutuan.

“Seluruh rakyat mengharapkan semua parti politik bergerak ke hadapan bagi menjamin segala janji dan manifesto kerajaan dilaksanakan.

“Budaya politik konflik, fitnah dan bertembung perlu ditinggalkan kerana tidak disukai rakyat.

“Peranan PAS sebagai rakan dialog dan pembangkang berkesan adalah situasi saling menguntungkan untuk rakyat dan kerajaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mei 2018 @ 6:35 PM