RAKAMAN video mangsa yang menunjukkan suspek cuba memujuk dan memberi penerangan mengenai pelaburan bitcoin tipu.
RAKAMAN video mangsa yang menunjukkan suspek cuba memujuk dan memberi penerangan mengenai pelaburan bitcoin tipu.
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Menawarkan keuntungan tinggi hingga 30 peratus bagi setiap pelaburan mata wang asing (forex) dan mata wang digital (bitcoin).

Itu taktik licik pemilik syarikat produksi bergelar Datuk yang dipercayai aktif melakukan penipuan itu lebih lima tahun lalu.

Malah, suspek berusia 30-an itu dipercayai sudah menjerat ratusan mangsa di seluruh negara dengan jumlah kerugian dianggarkan puluhan juta ringgit.

Sumber berkata, polis menerima 23 laporan di seluruh negara berkaitan kes penipuan pelaburan forex dan bitcoin didalangi suspek dengan jumlah kerugian RM13.9 juta.

“Hasil siasatan mendapati suspek bergiat aktif dalam mempromosikan pelaburan forex sejak 2013 hingga 2015 manakala bitcoin sejak 2016 sehingga kini,” katanya semalam.

Katanya, berdasarkan laporan polis diterima, polis mengarahkan suspek tampil di Pejabat Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Urus Setia Ketua Polis Negara, Ibu Pejabat Polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman untuk membantu siasatan kes itu.

“Suspek yang pernah bekerjasama dalam pembikinan filem tempatan terkenal ditahan ketika memberi keterangan di pejabat JSJK jam 5.30 petang, semalam (kelmarin).

“Penahanan suspek itu susulan kes penipuan pelaburan membabitkan mangsa mendakwa ditipu suspek bergelar Datuk Paduka pada September 2014,” katanya.

Beliau berkata, mangsa mendakwa ditawarkan menyertai skim pelaburan yang mampu memberi keuntungan berganda.

“Ahli perniagaan wanita berusia 47 tahun itu kemudian memasukkan wang RM10,500 pada Oktober 2014 ke dalam akaun bank diberikan suspek.

“Mangsa bagaimanapun menyedari ditipu selepas tidak memperolehi bayaran keuntungan seperti dijanjikan sebelum membuat laporan di Balai Polis Kajang pada 2 November tahun lalu,” katanya.

Sumber berkata, suspek kini direman tujuh hari bermula 16 hingga 22 Mei ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 ( Akta 613).

“Orang ramai yang menjadi mangsa penipuan pelaburan forex dan bitcoin yang dijalankan suspek diminta tampil membuat laporan polis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 10:25 AM