DATUK Seri Najib Razak. FOTO Arkib NSTP
DATUK Seri Najib Razak. FOTO Arkib NSTP
HM Digital


BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri ketujuh.

Najib menerusi akaun Twitternya berkata, beliau turut sanggup membantu peralihan kuasa yang lancar.

“Baru mengucap tahniah kepada Tun Mahathir di atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri yang ke-7. Saya sanggup membantu peralihan kuasa yang lancar,” katanya.

Terdahulu, Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Balai Rong Seri, Istana Negara, 9.56 malam tadi.

Dr Mahathir, 92, yang diiringi Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali mencatat sejarah apabila mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri buat kali kedua selepas memegang jawatan yang sama pada 16 Julai 1981.

Sultan Muhammad V sudah memberi perkenan selaras dengan Fasal (2) (a) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan supaya Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 12:26 AM