PENGERUSI Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan sidang media khas Pakatan Harapan di Hotel Sheraton, Petaling Jaya. Foto NSTP/AIZUDDIN SAAD
PENGERUSI Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan sidang media khas Pakatan Harapan di Hotel Sheraton, Petaling Jaya. Foto NSTP/AIZUDDIN SAAD
Haika Khazi


TUN Dr Mahathir Mohamad mengesahkan akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-7 di Istana Negara, Kuala Lumpur sebelum 5 petang ini.

Dr Mahathir berkata, beliau perlu segera mengangkat sumpah kerana terdapat desakan supaya kerajaan baharu ditubuhkan secepat mungkin selepas mandat kerajaan sementara tamat malam tadi.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menjelaskan semua calon PH bertanding di Semenanjung Malaysia dengan menggunakan logo PKR dan semua empat parti komponen dalam gabungan sudah bersetuju supaya Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

“Tiada kekeliruan sebenarnya kerana PH sudah pun sekurang-kurangnya memiliki 122 kerusi di Parlimen ketika ini dengan sokongan daripada Parti Warisan Sabah (WARISAN).

“Apa yang saya tahu WARISAN sangat rapat dengan PH terutama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan saya sudah menghubungi Datuk Seri Shafie Afdal dua kali pagi ini.

“Shafie memaklumkan kepada saya bahawa dia sudah mengarahkan ahli WARISAN yang menang 14 kerusi Parlimen supaya menamakan saya sebagai PM baharu.

“Jadi, semua ahli Parlimen PH kini sudah pun menandatangani dan mengisytiharkan bahawa mereka menyokong calon yang dipilih oleh parti gabungan ini untuk menjadikan saya sebagai Perdana Menteri. Anda telah pun mendengar nama calon mereka ialah Dr Mahathir Mohamad.

“Oleh itu kami berharap sebelum jam 5 petang ini, akan berlangsung upacara mengangkat sumpah. Sebab tanpa perdana menteri, tidak akan ada kerajaan, tanpa kerajaan, tidak akan ada undang-undang dan Perlembagaan,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan menetapkan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik seorang anggota parlimen yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti anggota Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.

Terdahulu, Dr Mahathir menjelaskan punca utama kelewatan majlis angkat sumpah beliau selaku Perdana Menteri baharu adalah kerana Yang di-Pertuan Agong kurang jelas mengenai siapa sebenarnya pemimpin nombor satu PH.

“Baginda sebenarnya kurang jelas mengenai siapa sebenarnya memimpin PH sebab itulah saya cuba menjelaskannya malam tadi. Kami bertanding menggunakan logo PKR tetapi tidak semua calon adalah ahli PKR tetapi mereka adalah ahli PH.

“Justeru itulah baginda menjemput Presiden PKR untuk menghadap malam tadi. Jadi inilah salah faham yang berlaku dalam politik,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir menolak andaian sesetengah pihak bahawa kelewatan pelantikannya sebagai Perdana Menteri adalah kerana beliau tidak mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Saya tidak tahu mengenai khabar angin mengenai Agong kurang berkenan terhadap saya, tetapi apa yang pasti saya seorang yang baik. Saya mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen dan itulah yang dikehendaki mengikut Perlembagaan.

“Perlembagaan tidak menetapkan syarat pelantikan Perdana Menteri adalah di kalangan individu disukai Agong atau tidak sebagainya tetapi ia mestilah dari kalangan parti mendapat majoriti tertinggi dan itulah peraturannya,” katanya.

Dr Mahathir mengesahkan PH akan mengadakan perbincangan bagi menentukan siapakah calon Menteri Besar dan Ketua Menteri di negeri dimenangi mereka dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mei 2018 @ 4:18 PM