Nur Saliawati Salberi


KECURIGAAN seorang kakak melihat makanan tengah hari yang dihantar ke rumah adiknya tidak terusik dan masih berada di luar, membawa kepada penemuan mayat wanita itu di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, di Melaka, semalam.

Mayat Yong Chai Khim, 41, ditemui kira-kira jam 10.45 malam oleh kakak sulungnya yang pergi rumah mangsa.

Ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, sebelum kejadian, kakak mangsa cuba menghubungi adiknya, namun tidak berjawab.

“Kakaknya kemudian ke rumah wanita itu dan hairan apabila melihat makanan tengah hari tidak terusik. Dia mendapati pintu rumah berkunci, lalu masuk sebelum menemui adiknya dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam rumah itu.

“Mangsa ditemui dalam keadaan berbaju, selain tuala pada lehernya,” katanya ketika ditemui hari ini.

Difahamkan, selepas berpisah dengan suami, mangsa tinggal seorang diri, manakala anaknya dijaga datuk.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, siasatan awal polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.

“Bagaimanapun, kita masih menunggu laporan bedah siasat daripada Jabatan Forensik Hospital Melaka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mei 2018 @ 6:59 PM